Oleh: Nur Syafiah Mohd Hayat
Tanjong Malim, 12 Januari 2025 – Program Arabella Family Day ‘Keriangan Tanpa Henti‘ anjuran Ketua Blok Kolej Kediaman 1 bersama-sama dengan Ahli Jawatankuasa blok 1 sidang 2024/2025 telah berlangsung dengan jayanya. Program yang bertemakan galau ini bertujuan untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan mental peserta sambil bergembira dalam suasana yang santai dan mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara penghuni Kolej Harun Aminurrashid.
Ketua Blok Kediaman 1 merangkap Pengarah Program Arabella Family Day ‘Keriangan Tanpa Henti‘ Nurul Ain Fatehah Abdul Rahim mengucapkan syukur atas kejayaan program ini dengan kehadiran ramai penghuni Kolej Harun Aminurrashid. Beliau berterima kasih kepada Felo Blok Kediaman 1, AJK Pelaksana, dan semua pihak yang terlibat. Program ini, menurut beliau, bertujuan mengeratkan hubungan penghuni melalui aktiviti menyeronokkan sambil memupuk kerjasama, kesukanan, dan perpaduan. Beliau berharap program ini memberi pengalaman bermakna kepada semua peserta.
Felo Blok Kediaman 1, merangkap Penasihat Program Kolej Harun Aminurrashid, Hazman Ya’akob turut serta dalam program ini. Beliau berharap agar program ini dapat menjadi peluang untuk peserta berseronok, mencipta kenangan, dan menjalinkan persahabatan melalui pelbagai aktiviti yang disediakan. Beliau juga turut mengingatkan peserta agar menjaga kesihatan, keselamatan, dan tingkah laku sepanjang program supaya tidak mengganggu persediaan menghadapi peperiksaan. Ucapan ini diakhiri dengan harapan agar semua peserta menikmati program dengan gembira.

Program diteruskan dengan sesi memanaskan badan dan pembahagian kumpulan yang dikendalikan oleh unit aktiviti. Pelbagai aktiviti sukaneka yang menarik dan penuh cabaran telah dijalankan. Antaranya, Cabaran Straw dan Botol iaitu memasukkan straw ke dalam botol menggunakan muncung dan Biskut ke Mulut yang mencuit hati dengan aksi lucu peserta cuba menyuapkan biskut ke mulut mereka tanpa bantuan tangan.


Aktiviti lain seperti Voli belon basah, Perlumbaan kereta api belon, perang belon kaki serta istana cawan duo turut mendapat sambutan hangat. Setiap aktiviti menguji daya tahan, kesabaran, strategi, dan kreativiti peserta, menjadikan pengalaman ini penuh keseronokan dan cabaran di mana ia memerlukan semangat yang tinggi daripada para peserta.


Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga serta sesi fotografi bersama sebagai tanda kenangan. Tamatnya program Arabella Family Day ‘Keriangan Tanpa Henti‘ dengan peserta membawa pulang pengalaman indah.