Oleh: Syaza Qistina Ahmad Qabil
Slim River, 29 Disember 2024- Program PhysioEduCare: Mai Jok Sehat! berjaya direalisasikan dengan penganjurannya di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih, Slim River, Perak melalui kolaborasi bersama 21 orang mahasiswa kursus Fisiologi Haiwan (SBF3033), Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan 10 orang petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Muallim.
Program ini merupakan satu inisiatif SULAM melalui pendekatan secara langsung yang menyasarkan komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Pos Bersih dalam usaha memperkasakan kesedaran kesihatan dalam kalangan mereka, khususnya yang berumur 40 tahun ke atas. Seiring dengan itu, program ini bertujuan untuk menggalakkan penyertaan mereka di dalam Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa B40). Dengan pendekatan yang inovatif dan mesra komuniti, PhysioEduCare: Mai Jok Sehat telah menjadi platform untuk mendekati golongan ini.

Barisan mahasiswa yang terlibat telah diketuai oleh Saidatul Imani Sofiah Ahzizul Anwar dan dibimbing oleh Profesor Madya Dr. Syakirah Samsudin selaku pensyarah kursus. Program ini mendapat kerjasama strategik daripada pihak Pejabat Kesihatan Daerah Muallim dan disokong oleh barisan petugas kesihatan yang berpengalaman di bawah pengendalian Dr. Siti Aminah Ishak.

Dengan mengambil kira cabaran utama seperti ketakutan penduduk kampung Orang Asli terhadap pengambilan darah dan suntikan seperti yang dilaporkan oleh Dr. Siti Aminah, program ini menumpukan perhatian kepada aspek pendidikan kesihatan untuk mengatasi stigma serta kebimbangan ini dengan menyampaikan ilmu asas tentang sistem fisiologi manusia secara interaktif dan mudah difahami.
Mahasiswa UPSI telah mengambil bahagian secara aktif di peringkat perancangan sehinggalah program ini dijalankan dengan mengetengahkan pengisian pendidikan kesihatan yang dinamik dan menjalankan aktiviti berimpak tinggi sebagai strategi untuk menarik minat dan meningkatkan penglibatan komuniti. Pengisian utama program ini adalah Sesi Perkongsian Ilmu yang memberikan fokus kepada isu sistem penghadaman dan isu peredaran darah manusia yang berkaitan dengan kesihatan dan keperluan saringan kesihatan. Dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami dan alat bantu mengajar berteraskan visual yang menarik, sesi ini memberikan penjelasan yang interaktif dan menarik tentang kedua-dua sistem organ ini serta kaitannya dengan kepentingan mengambil darah untuk saringan kesihatan. Tambahan pula, sesi kuiz pada akhir perkongsian juga memberikan motivasi kepada peserta untuk melibatkan diri dan mengambil inisiatif untuk memahami isi kandungan yang dikongsikan oleh mahasiswa kursus.




Bagi merapatkan jurang antara komuniti orang asli dan pelajar UPSI, sesi zumba (Likak Riang Tep), pertandingan karaoke (Ngogok Ngilap), aktiviti sukaneka untuk lelaki (Sapot Yeq Menek) dan pertandingan bersolek untuk wanita (Jojo Berhias Riang) telah dijalankan sebagai usaha untuk menarik perhatian komuniti tempatan menghadiri ke Program PhysioEduCare: Mai Jok Sehat!.
Melalui temubual yang dijalankan bersama Tok Batin Kampung Orang Asli Pos Bersih, Encik Mansor A/L A-iyokperangin, beliau telah mengucapkan penghargaan beliau kepada pihak UPSI dan Pejabat Kesihatan Daerah Muallim yang telah menunjukkan keprihatinan terhadap tahap kesihatan penduduk kampung. Program ini telah berjaya mengeratkan tali silaturahim antara pihak-pihak yang terlibat di dalam program PhysioEduCare: Mai Jok Sehat!. Dengan hati yang terbuka, Encik Mansor juga mengalu-alukan kedatangan pelajar UPSI yang ingin menjalankan program di Kampung Orang Asli Pos Bersih pada masa akan datang.
Hasil temubual bersama seorang Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Muallim, Dr. Afiqah, dimaklumkan sekitar 36 peratus daripada penduduk Kampung Orang Asli Pos Bersih berumur 40 tahun ke atas yang menghadiri program ini telah menjalani saringan kesihatan di booth Pejabat Kesihatan Daerah Muallim. Menurut seorang lagi Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat, sambutan daripada penduduk Kampung Orang Asli Pos Bersih kali ini lebih memberangsangkan dari sebelum ini, di mana kurang daripada 20 orang menghadirkan diri. Seramai 118 orang dari Kampung Orang Asli Pos Bersih telah menghadiri PhysioEduCare: Mai Jok Sehat!.
Peserta yang terlibat juga telah memberikan maklum balas yang amat memberangsangkan tentang program yang telah dijalankan di kampung mereka. Bukan sahaja mereka berhasil menerima input tentang kesihatan mereka melalui pemeriksaan kesihatan yang dijalankan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Muallim, malah kini mereka lebih peka dan sedar akan langkah yang perlu diambil untuk memastikan kesihatan mereka kekal pada tahap optimum.
Dengan pendekatan yang penuh kreativiti dan mesra komuniti, program ini berjaya menarik perhatian komuniti orang asli untuk hadir menjalani pemeriksaan kesihatan. Melalui usaha ini, beberapa peserta telah dikenal pasti untuk memerlukan rawatan lanjut, membuktikan peri penting tindakan proaktif dalam menangani isu kesihatan. Program PhysioEduCare: Mai Jok Sehat! membuktikan bahawa pendekatan yang inklusif mampu mencetuskan perubahan positif dalam komuniti. Selain memperkasakan pendidikan kesihatan di dalam komuniti yang terlibat, program ini juga menjadi simbol keprihatinan dan solidariti antara mahasiswa UPSI dan komuniti sasaran.