Oleh: PM Dr. Norazilawati Abdullah & Dr. Intan Farahana Abdul Rani
TANJONG MALIM, 12 Januari 2025 – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), bersama Pusat Ulul Albab (PUA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berbesar hati menganjurkan kursus intensif selama empat hari bagi bakal tenaga pengajar program hafazan Thalatha Tis’a. Kursus yang berlangsung dari 9 hingga 12 Januari 2025 ini merupakan langkah pertama yang signifikan dalam merealisasikan program hafazan berstruktur untuk kanak-kanak prasekolah pada sesi persekolahan 2025. Istimewanya, program ini turut mendapat naungan Tan Sri Idris Jusoh, yang sentiasa menyokong usaha memperkasakan pendidikan Islam.
Kohort pertama kursus ini telah menghimpunkan seramai 38 peserta yang terdiri daripada wakil organisasi dan institusi terkemuka seperti Yayasan Ulul Albab, Yayasan Pahang, Pusat Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), KEMAS Hulu Terengganu, PACU Resources, UMNO Hulu Terengganu, Management and Science University (MSU), dan Madrasah Al Ulum Addiniyah.
Sepanjang empat hari, para peserta diberi pendedahan mendalam mengenai kurikulum Thalatha Tis’a yang dirancang secara khusus untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun. Kurikulum ini bukan sahaja menumpukan kepada pembelajaran hafazan Al-Quran, tetapi juga memastikan penyampaian ilmu dilakukan mengikut standard dan objektif yang disasarkan. Antara aspek utama yang diketengahkan dalam kursus ini adalah pendekatan Tahbib, Talaqqi, Tilawah, Tasmik, Tahriri, dan Tahsin. Pendekatan ini menekankan pembelajaran secara bertalaqqi dengan guru, latihan sebutan (tahsin), dan hafazan yang bertahap. Kaedah ini bertujuan untuk memastikan pelajar memahami, menguasai, dan mencintai Al-Quran sejak kecil.

Peserta juga dilatih mengenai kaedah penilaian yang adil dan berkesan untuk mengukur pencapaian pelajar dalam hafazan. Selain itu, modul ini memperkenalkan teknologi terkini yang mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran. Peserta didedahkan dengan alat bantu mengajar interaktif untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan. Modul Pedagogi Smart 10T yang dibangunkan oleh Pusat Ulul Albab UPSI turut digunakan, menggabungkan pendekatan pedagogi moden dengan nilai-nilai Islamik. Ia memberi tumpuan kepada aspek komunikasi, kreativiti, dan pengendalian kanak-kanak secara menyeluruh.
Para peserta kursus menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang program berlangsung. Mereka aktif dalam sesi latihan dan memberi maklum balas positif terhadap penyampaian fasilitator. Dengan kaedah pembelajaran yang konstruktif dan interaktif, peserta berpuas hati dengan ilmu yang diperoleh serta yakin dapat mengaplikasikannya dalam melaksanakan program hafazan Thalatha Tis’a.

Kehadiran Tan Sri Idris Jusoh sebagai penaung program ini memberi suntikan semangat kepada semua pihak yang terlibat. Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik Al-Quran, tetapi juga mempunyai akhlak mulia dan keupayaan intelektual yang tinggi. “Program Thalatha Tis’a ini adalah satu langkah penting dalam mendidik anak-anak kita untuk menjadi insan yang beriman dan berilmu. Saya amat berbangga dengan inisiatif yang dijalankan oleh NCDRC dan Pusat Ulul Albab UPSI,” ujar beliau.
Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Prof Madya Dr. Mazlina Mustafa, turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan kursus ini. “Kami percaya bahawa pendidikan awal yang berkualiti adalah asas kepada pembangunan insan yang holistik. Melalui program ini, kita bukan sahaja mendidik kanak-kanak untuk menghafaz Al-Quran tetapi juga membentuk akhlak mereka dengan nilai-nilai murni. Para peserta kursus ini akan menjadi ejen perubahan dalam memastikan misi ini tercapai,” katanya.
Kursus ini membuka lembaran baru dalam usaha memperkasakan pendidikan hafazan di Malaysia. Dengan sokongan penuh daripada organisasi dan individu yang komited, program Thalatha Tis’a diyakini mampu menjadi platform terbaik untuk melahirkan generasi hafiz muda yang cemerlang. Semoga usaha ini diberkati dan terus berkembang pada masa hadapan.