OLEH : NURSYAZWANI NADHIRAH
TANJONG MALIM, 4 Januari 2025 – Cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini sudah mula menunjukkan impak terhadap keadaan alam sekitar di kawasan Kolej Antarabangsa, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Pihak Majlis Mahasiswa Kolej Antarabangsa (MMKA) telah menerima sebuah panggilan daripada seorang pelajar antarabangsa kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Pelajar tersebut melaporkan bahawa sebuah dahan daripada pokok berhampiran tempat parkir kereta telah jatuh menimpa tingkap hadapan kenderaannya. Akibatnya, tingkap kenderaan pelajar tersebut telah mengalami keretakan.

MMKA mengambil langkah awal dengan menghubungi staf pengurusan kolej dan juga polis bantuan UPSI yang sedang membuat rondaan di sekitar kawasan kampus pada waktu itu.
Bagi mengelakkan kejadian yang sama menimpa pelajar lain, pihak pengurusan kolej terus membuat hebahan kepada pelajar yang berada di kolej agar tidak meletakkan kenderaan di kawasan tempat parkir tersebut.
Polis bantuan yang berada di tempat kejadian menyatakan bahawa insiden ini menjadi tanggungjawab Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB) dan menyarankan supaya mereka menghubungi pegawai yang bertugas daripada jabatan tersebut.

Pegawai tersebut mencadangkan pelajar tersebut dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.
Setelah mendapatkan keterangan daripada pelajar, mereka terus membawa pelajar tersebut ke balai polis berhampiran diiringi oleh staf pengurusan kolej dan polis bantuan UPSI bagi membuat laporan dan membincangkan solusi kepada isu tersebut.
Wakil daripada MMKA turut hadir di balai polis sebagai jurubahasa kepada pelajar tersebut ketika laporan dibuat kepada pihak polis.
Insiden ini diklasifikasikan sebagai suatu insiden bencana alam kerana berpunca daripada faktor semula jadi yang tidak dapat dielakkan oleh mana-mana pihak.
Pelajar tersebut akhirnya diminta untuk terus berhubung dengan JPPHB dan mengunjungi pejabat mereka di Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Pihak pengurusan kolej dan MMKA pula bersetuju untuk membuat hebahan dan peringatan kepada penghuni agar tidak meletakkan kenderaan di tempat parkir tersebut buat sementara waktu sehingga kerja-kerja penebangan pokok selesai.
Chan Weng Jun, Exco Kebajikan, Perumahan dan Keselamatan (TERAS) MMKA menunjukkan kelegaan apabila insiden tersebut dapat ditangani dengan baik.
“Saya berharap agar semua penghuni cakna dengan semua hebahan dan makluman yang disampaikan oleh MMK dan juga pihak pentadbiran kolej”, katanya.
Selain itu, Encik Muhammad Hafiz Hilmi A Ramzi, salah seorang SKIM yang bertugas di Kolej Antarabangsa mengucapkan syabas kepada MMKA atas tindakan segera yang dilakukan bagi menangani kejadian tersebut.
“Sebagai sebuah badan pelajar di kolej kediaman, MMKA telah menunjukkan prestasi yang baik dalam menangani isu berkaitan pelajar antarabangsa walaupun baru sahaja dilantik beberapa bulan lepas. Semoga mereka terus komited untuk menyumbang kepada Kolej Antarabangsa.”, ucapnya.
Akhir sekali, pihak pengurusan kolej dan juga MMKA berharap agar insiden sedemikian tidak lagi berulang pada masa akan datang. Pada masa yang sama, para pelajar juga sewajarnya cakna dengan hebahan dan juga makluman daripada pihak kolej dari semasa ke semasa.
Pelajar dinasihatkan agar terus berhubung dengan MMKA jika terdapat sebarang kemusykilan dan juga masalah tertentu. Sekalung ucapan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menangani insiden ini.