Oleh: Dr. Noraine Salleh Hudin, Prof Madya Dr Shakinaz Desar dan Dr Adibah Abu Bakar

Tanjong Malim, 9 Januari 2025 – Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan istimewa daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Selangor bersama 74 orang Guru Besar dalam usaha memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di sekolah rendah.

Program ini melibatkan perkongsian amalan pendidikan STEM yang dilaksanakan di FSM kepada Guru Besar dari Daerah Hulu Selangor bagi meningkatkan minat terhadap STEM dalam kalangan murid di sekolah rendah.

Dalam sesi perkongsian ilmu, Penyelaras STEM FSM, Dr. Adibah Abu Bakar, memperkenalkan teknologi realiti maya, pengaturcaraan, dan robotik.

Teknologi ini dilihat sebagai pendekatan interaktif yang dapat memupuk rasa ingin tahu dan keterujaan murid terhadap sains dan teknologi.

Selain itu, peserta juga didedahkan dengan inovasi alat bantu mengajar (ABM) bagi membantu murid memahami konsep sains dengan cara yang lebih mudah dan menyeronokkan.

Menariknya, ABM ini dibuat menggunakan bahan-bahan biasa yang mudah diperoleh serta berkos rendah.

Perkongsian mengenai ABM ini telah disampaikan oleh Prof Emeritus Dr. Rosly bin Jaafar, yang menekankan kepentingan kreativiti guru dalam menghasilkan bahan pengajaran yang efektif.

Lawatan ini turut membawa peserta ke Herbarium Flora of Perak, salah satu fasiliti FSM dalam bididang biodiversiti.

Mazatul Azrin Rahman, pelajar pascasiswazah dalam bidang botani, memberikan penerangan mendalam mengenai kepelbagaian spesies tumbuhan di Perak dan peranan herbarium dalam memupuk minat pelajar untuk mempelajari bidang berkaitan biologi.

Menurut salah seorang Guru Besar yang menyertai lawatan ini, program ini amat bermakna dan memberikan perspektif baharu kepada mereka untuk mengintegrasikan pembelajaran STEM di sekolah masing-masing. “Kami berharap dapat membawa ilmu yang dipelajari di sini untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran di sekolah dan semoga kerjasama lanjutan dapat diadakan bersama FSM pada masa akan datang,” katanya.

Lawatan ini jelas mencerminkan komitmen UPSI sebagai universiti pendidikan terulung dalam memainkan peranan aktif dalam pembangunan pendidikan negara, khususnya dalam memperkukuhkan pendidikan STEM di peringkat sekolah rendah. Program ini turut melibatkan pensyarah dan staf Jabatan Biologi iaitu Prof. Madya Dr. Shakinaz Desa, Dr. Noraine Salleh Hudin, Prof. Madya Dr. Fatimah Mohamed, Puan Marina Karunzaman dan Puan Irawati Othman.