Oleh: PM Dr. Azizah
Pada 6 hingga 8 Disember, satu bengkel bertajuk Module Development in Relation to the Orang Asli Learning and Teaching Skills Development Programme for Community Learning Centre Teachers telah berlangsung dengan jayanya. Program ini merupakan fasa pertama daripada tiga fasa yang dirancang, bertujuan memperkasakan pendidikan untuk komuniti Orang Asli melalui pembangunan modul yang relevan dan menyeluruh. Bengkel merupakan usahasama bersama Yu Cai Foundation dan Yayasan DayaDiri serta Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Program yang berlangsung selama tiga hari ini menampilkan kerjasama antara pakar akademik, yayasan-yayasan, guru-guru, serta guru-guru Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC), yang berperanan penting dalam mendidik masyarakat Orang Asli dalam bidang akademik.

Pensyarah-pensyarah, peserta bersama Puan Wan Kartini binti Wan Sulaiman Timbalan Ketua Pustakawan (Ketua Bahagian Pentadbiran & Promosi) selepas mengunjungi perpustakaan utama UPSI
Program ini dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Norwaliza Abdul Wahab bersama tiga orang pakar iaitu Prof. Madya Dr. Siti Rahaimah Ali, Prof. Madya Dr. Azizah Zain, dan Dr. Jamilah Mohd Basir. Program ini menjadi platform untuk mengajar serta membincangkan pendekatan pendidikan yang inklusif dan berasaskan budaya, sambil menghasilkan modul pengajaran yang praktikal dan berkesan. Objektif utama program ini, antaranya menghasilkan modul pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan dan budaya masyarakat Orang Asli, memperkukuhkan kemahiran guru-guru dalam membangunkan bahan bantu mengajar, serta memperkenalkan kaedah pembelajaran yang menyeronokkan dan relevan. Selain itu, bengkel ini juga memberi penekanan kepada strategi yang menyokong pembangunan kemahiran motor halus pelajar Orang Asli, yang penting untuk pembentukan asas pembelajaran mereka.

Selama tiga hari bengkel berlangsung, pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi mencapai objektif yang ditetapkan. Sesi perundingan menjadi aktiviti utama, di mana panel pakar dan guru-guru berbincang secara mendalam tentang cabaran dan keperluan pendidikan komuniti Orang Asli. Antara isu yang dibangkitkan ialah halangan terhadap akses pendidikan formal, kekurangan bahan pengajaran yang mesra budaya, dan keperluan untuk meningkatkan motivasi pelajar terhadap pembelajaran. Perbincangan ini menghasilkan pelbagai idea dan strategi yang dapat digunakan untuk membangunkan modul pengajaran yang lebih sesuai.
Selain perundingan, peserta juga mengambil bahagian dalam aktiviti lawatan ke perpustakaan Tuanku Bainun. Lawatan ini bertujuan memberi inspirasi kepada guru-guru CLC dalam membangunkan bahan bantu mengajar, terutama yang bersifat visual dan interaktif. Pendedahan kepada pelbagai sumber pendidikan ini membantu guru memahami bagaimana elemen kreatif boleh diterapkan dalam pengajaran mereka untuk menjadikannya lebih menarik dan berkesan.

Antara komponen utama bengkel ialah pembinaan bahan bantu mengajar, di mana guru-guru dilatih untuk menghasilkan bahan yang mudah digunakan dan sesuai dengan keperluan pelajar Orang Asli. Sesi ini memberi fokus kepada penggunaan sumber yang mudah diperoleh, namun mampu memberikan impak besar terhadap pembelajaran. Selain itu, strategi untuk memperbaiki kemahiran motor halus pelajar juga diberi perhatian. Aktiviti seperti menulis, melukis, dan permainan kreatif diperkenalkan sebagai cara untuk membantu pelajar menguasai kemahiran asas ini. Bengkel ini turut menekankan kaedah pembelajaran menyeronokkan yang menggabungkan permainan, cerita, dan aktiviti kumpulan sebagai pendekatan untuk meningkatkan minat pelajar terhadap pembelajaran.Program ini telah memberikan impak yang mendalam kepada guru-guru yang menyertainya. Mereka kini lebih yakin untuk menggunakan pendekatan baharu dalam pengajaran, selain dilengkapi dengan kemahiran untuk mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan bermakna. Modul yang akan dibangunkan melalui bengkel ini juga diharapkan dapat membantu pelajar Orang Asli untuk lebih memahami pelajaran dan meningkatkan minat mereka terhadap pendidikan.
Fasa pertama ini bukan sahaja menjadi titik permulaan yang kukuh, tetapi juga membuka jalan untuk pelaksanaan fasa kedua dan ketiga yang dirancang. Modul yang dihasilkan akan melalui proses penilaian keberkesanan sebelum diperluas penggunaannya di pusat pembelajaran komuniti lain di seluruh negara. Dengan pendidikan yang lebih inklusif dan mesra budaya, masyarakat Orang Asli berpeluang mencapai potensi terbaik mereka, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan.

Kesimpulannya, bengkel Module Development in Relation to the Orang Asli Learning and Teaching Skills Development Programme for Community Learning Centre Teachers Fasa pertama ini telah membuktikan keberkesanan pendekatan kolaboratif dalam memperkasa pendidikan komuniti terpinggir. Dengan sokongan kedua-dua yayasan, serta dedikasi panel pakar dan guru-guru, program ini menjadi contoh cemerlang kepada usaha pendidikan inklusif di Malaysia. Semoga fasa-fasa seterusnya terus membawa kejayaan dan manfaat yang lebih besar kepada komuniti Orang Asli.