Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 16 Januari 2025 – Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universitas PGRI Palembang (UPGRIP) dalam usaha untuk memperkukuh, mempromosi, dan membangunkan disiplin akademik serta hubungan antara institusi akademik kedua-dua negara.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, MoU ini bertujuan untuk memperluaskan peluang antarabangsa melalui program pertukaran pelajar dan kakitangan, mobiliti, dan pelbagai inisiatif lain.
“Kerjasama ini adalah langkah strategik dalam memperkukuhkan hubungan antara UPSI dan UPGRIP, yang akan memberikan impak besar dalam meningkatkan lagi kualiti pendidikan di kedua-dua institusi.

“Melalui inisiatif pertukaran kepakaran dan penyelidikan bersama, kita dapat memperkaya pengalaman pendidikan dan menyumbang kepada pengembangan ilmu pengetahuan serta pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi.”
Antara inisiatif utama yang digariskan dalam kerjasama ini termasuklah pertukaran kepakaran yang merangkumi idea, teknik, dan ekspresi artistik, khususnya dalam mengembangkan pemahaman yang lebih mendalam terhadap warisan budaya, teknologi pendidikan, pendidikan inklusi, pendidikan awal kanak-kanak serta pendidikan berasaskan pengajian persembahan dan kebudayaan.
“Melalui penyelidikan bersama, kita dapat menangani isu-isu global yang relevan, sekaligus meletakkan UPSI dan UPGRIP di barisan hadapan dalam menghasilkan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Kerjasama ini turut melibatkan perkhidmatan komuniti bersama, yang bertujuan menangani cabaran masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
“Program kuliah tamu yang memperkaya pengalaman akademik melalui sesi yang disampaikan oleh fakulti dan profesional terkemuka dari kedua-dua institusi juga akan diperkenalkan.
Tidak ketinggalan, fokus turut diberikan kepada peningkatan profesionalisme dan kemahiran dalam penganjuran konsert, festival, dan persembahan berskala besar serta bertaraf antarabangsa.
“Inisiatif ini dijangka memberi kesan positif kepada penarafan kedua-dua institusi, serta membantu UPSI untuk mencapai By Subject Ranking dalam bidang Seni Persembahan.
“Kerjasama ini juga diharapkan dapat meningkatkan jumlah penyelidikan dan penerbitan dalam jurnal berindeks Scopus dan WoS.
“Kerjasama ini bukan sahaja akan meningkatkan penarafan UPSI dalam bidang Seni Persembahan, malah ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua institusi untuk berkembang lebih jauh dalam penyelidikan dan pendidikan yang lebih global,” ujar beliau.
Sementara itu, Rektor Universitas PGRI Palembang, Prof Madya Dr. H. Bukman Lian berkata, kerjasama ini bukan sahaja membuka peluang bagi pertukaran pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga memberi ruang untuk menyatukan budaya, seni, dan pendidikan kami.
“Kami berharap ini akan memperkukuh lagi hubungan akademik dan membantu dalam meningkatkan standard pendidikan tinggi di kedua-dua negara.”

“Ini adalah permulaan kepada hubungan yang lebih luas dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
“Kami di UPGRIP berharap dapat terus memperkukuh kerjasama ini dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam menghasilkan penyelidikan yang memberi kesan kepada masyarakat global.
Tambah beliau lagi, MoU ini dijangka akan mencipta kerjasama sinergi yang memanfaatkan kepakaran bersama dalam memajukan amalan pendidikan, mendorong inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran, serta menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi.
“Kerjasama ini diharap dapat memberi impak besar kepada pengembangan ilmu pengetahuan dan penyelidikan di peringkat antarabangsa, seterusnya membawa faedah kepada kedua-dua negara,” kata beliau.
Hadir sama Timbalan Rektor 1, Universitas PGRI Palembang, Palembang, Prof Madya Dr. Dessy Wardiah; Timbalan Rektor 2, Universitas PGRI Palembang, Palembang, Prof Madya Dr. Yasir Arafat; Pendaftar UPSI, En. Helmi Zaifura Abdul Rahman; Dekan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, Prof Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saerani
