Oleh: Dr. Intan Farahana Abdul Rani
Bangi, 15 Januari 2025– Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam usaha mendapatkan penarafan sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCOE) dengan mengadakan Lawatan Penanda Aras HiCOE di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Lawatan ini berlangsung pada 15 Januari di Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (iRMC), UNITEN.

Lawatan ini melibatkan sesi perbincangan strategik antara pihak NCDRC dan pihak iRMC UNITEN, termasuk dua institut penyelidikan UNITEN yang telah memperoleh penarafan HiCOE, iaitu Institute of Sustainability Energy (ISE) dan Institute of Energy Infrastructure (IEI). Melalui sesi ini, NCDRC memperoleh gambaran jelas tentang strategi, amalan terbaik, serta kriteria yang diperlukan untuk mencapai pengiktirafan HiCOE oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Antara aspek utama yang dibincangkan adalah pendekatan strategik UNITEN dalam mencapai status HiCOE, termasuk pengurusan penyelidikan, kolaborasi industri, serta impak penyelidikan terhadap pembangunan nasional dan global. Lawatan ini juga memberi peluang kepada NCDRC untuk menilai dan memperbaiki strategi penyelidikannya, selaras dengan keperluan penarafan HiCOE.
Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, menyatakan bahawa lawatan ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh hala tuju NCDRC sebagai pusat penyelidikan unggul dalam bidang perkembangan kanak-kanak. “Kami bersungguh-sungguh dalam memastikan NCDRC mencapai penarafan HiCOE dengan meningkatkan kualiti penyelidikan, memperluas jaringan kerjasama, serta menghasilkan inovasi yang memberi impak kepada pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia,” katanya.
Selain itu, NCDRC juga akan terus menjalankan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan penyelidikan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, termasuk pemantapan infrastruktur penyelidikan, penerbitan berkualiti tinggi, serta pembangunan inovasi yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan industri.
Dengan lawatan ini, NCDRC semakin optimis dalam mencapai sasaran penarafan HiCOE dan akan terus berusaha mengukuhkan peranan sebagai pusat penyelidikan yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
