Oleh: Noraini Aminuddin

Tanjong Malim, 22 Januari 2025 – Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan kolokium bagi menampilkan pembentangan Kertas Projek oleh mahasiswa fakulti yang terdiri daripada pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kewangan) Dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kewangan Islam) Dengan Kepujian yang disertai seramai 95 orang mahasiswa yang bertempat di Bilik Kuliah 3, FPE pada 21 Januari yang lalu.

Menurut Ketua Jabatan Ekonomi, Prof. Madya Dr. Zainizam Zakariya, menerusi kolokium ini pelajar akan didedahkan dengan ilmu pengetahuan untuk melaksanakan sesebuah projek penyelidikan serta kemahiran menulis dan membentangkan projek penyelidikan yang berjaya.

Ketua Jabatan Ekonomi, Prof. Madya Dr. Zainizam berucap ketika perasmian kolokium

“Pewujudan Kolokium Kertas Projek ini sangat relevan bagi membantu mahasiswa dalam penulisan kertas projek masing-masing serta memberikan pengalaman kepada pelajar untuk melakukan pembentangan projek penyelidikan mereka, bertukar idea, dan menjalin kerjasama akademik yang lebih erat” ujar beliau ketika merasmikan kolokium ini.

Mahasiswa juga berpeluang mendapat beberapa input positif dan konstruktif daripada panel penilai lain yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah Jabatan Ekonomi semasa program tersebut dilakukan sebelum mereka menghantar penulisan Projek Tahun Akhir kepada penyelia masing-masing untuk dinilai dan diberikan gred.

Panel penilai turut memberi komen dan berkongsi pandangan membina mengikut kepakaran sedia ada bagi meningkatkan penghasilan mutu dan melengkapkan kualiti projek penyelidikan kepada mahasiswa sebelum bergraduat mengikut tempoh masa yang ditetapkan.