Oleh: Bazli Razak
GENTING HIGHLANDS, 23 Januari 2024 – Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan lawatan rasmi ke Institut Aminuddin Baki cawangan Genting Highlands (IABCGH), dalam usaha memperkukuhkan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan dan pengantarabangsaan.
Delegasi UPSI seramai 11 orang kakitangan yang diketuai oleh Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) UPSI Prof. Madya Dr. Mohd Izwan Shahril, disambut baik oleh Pengarah IAB Cawangan Genting Highlands, Encik Norazmir Ahmad, bersama barisan pegawai kanan institut tersebut.
Menurut Norazmir Ahmad, IABCGH amat berbesar hati dengan peluang dapat merealisasikan Program Kerjasama Pintar Pengantarabangsaan UPSI-IAB dalam memperkukuh usaha ke arah latihan pemimpin pendidikan bertaraf global
“Program ini merupakan rentetan kunjungan pihak IAB ke UPSI pada 2 Januari lalu yang memberi impak positif dalam kerjasama ini. Kami juga komited untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama pada masa akan datang.

“Ia menjadi platform penting untuk meningkatkan kualiti latihan, profesionalisme, dan inovasi dalam sektor pendidikan negara dalam melahirkan pemimpin pendidikan tanah air.
Tambah beliau, dengan adanya sinergi antara UPSI dan IAB pelbagai inisiatif baharu dapat dilaksanakan untuk memperkasa sektor pendidikan di negara ini.
“Kami berharap kolaborasi ini dapat memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak. Usaha bersama ini bukan sahaja meningkatkan kualiti pendidikan tetapi juga melahirkan pemimpin pendidikan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan aluan dalam Program Kerjasama Pintar Pengantarabangsaan IABCGH-BKK UPSI di Dewan Antarabangsa, IABCGH, baru-baru ini.

Katanya, program pengantarabangsaan adalah penting dalam melahirkan pemimpin pendidikan yang berdaya saing.
“Dalam dunia yang semakin global, kita perlu memastikan pemimpin pendidikan kita bukan sahaja memahami konteks tempatan tetapi juga bersedia menghadapi cabaran antarabangsa.
“Dengan kerjasama UPSI, saya yakin kita berada di landasan yang betul untuk merealisasikan visi tersebut,” ujar beliau.
Delegasi UPSI turut diberi taklimat khas mengenai sejarah, visi, dan misi IAB serta kemudahan latihan yang tersedia, termasuk dewan auditorium, bilik kuliah, dan fasiliti yang tersedia.
Topik perbincangan meliputi strategi komunikasi pendidikan, pengurusan krisis dan pendekatan inovatif dalam penyampaian maklumat serta program pengantarabangsaan yang boleh dijalankan bersama.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd Izwan Shahril, turut menyuarakan keyakinan beliau terhadap kerjasama strategik ini.

“Lawatan ini membuka lembaran baharu dalam hubungan kerjasama antara UPSI dan IAB. Kami percaya program ini akan menyumbang kepada peningkatan kecemerlangan pendidikan melalui perkongsian ilmu dan kepakaran.
“UPSI sentiasa komited untuk memperkukuhkan kerjasama dengan institusi seperti IAB, kerana kami yakin sinergi ini mampu menjana inovasi baharu yang relevan dengan keperluan pendidikan masa kini.
“Ini amat penting dalam usaha mencipta penyelesaian inovatif kepada cabaran semasa dalam bidang pendidikan.
Tambah beliau, selain daripada memperkukuhkan hubungan institusi, lawatan ini juga memberi peluang kepada pegawai-pegawai kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan pengalaman.
“Kerjasama ini juga akan membuka ruang untuk pelaksanaan program-program latihan bertaraf antarabangsa yang memberi manfaat kepada seluruh ekosistem pendidikan di negara ini,” kata beliau.
Hadir sama Timbalan Pengarah Cawangan IABCGH, En. Mohd Zaidi Basir; Timbalan Pengarah BKK UPSI, Prof. Madya Dr. Ghazali Din; Timbalan Pendaftar IABCGH, Dr. Mohamad Nizam Arshad; Ketua Jabatan Kerjasama Luar dan Antarabangsa IABCGH, Dr. Azyanzuhaila Hasan Basri.