Oleh: Fatin Athirah Pathe Mohammad She’leh

Tanjong Malim, 8 Mac 2025 – Satu program bertajuk Amalan Wanita dalam Bulan Ramadan telah dianjurkan oleh Lajnah Helwi di bawah anjuran kelab Al- Mursyidin dengan kerjasama Persatuan Gagasan Islam Upsi dan beberapa Persatuan muslimah luar melalui siaran langsung di Instagram (Live IG Helwi AMC).

Program ini berlangsung dari pukul tiga hingga lima petang dan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para Muslimah mengenai kepentingan mengamalkan amalan-amalan yang dapat meningkatkan ketakwaan serta memperkukuh hubungan dengan Allah dan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.

Program ini menampilkan Anis Amirah Abdul Latiffe sebagai panel yang merupakan Setiausaha Agung AMC Sidang 2024/2025.

Sesi beramah mesra turut diadakan bagi mengeratkan hubungan antara peserta dan panel uatam dalam talian, iaitu Nur Fatin Najihah Mat Nasir selaku Exco Helwi Persatuan Pendidikan Islam Sidang 2024/2025.

Perkongsian ini berkongsikan pelbagai ilmu dan panduan tentang amalan yang boleh dilakukan oleh wanita dalam bulan Ramadan, termasuk menjaga kualiti ibadah, memperbanyakkan bacaan al-Quran, meningkatkan sedekah, serta menjaga hubungan baik dengan keluarga dan masyarakat.

Selain itu, program ini turut diserikan dengan sesi soal jawab yang interaktif, di mana peserta mengajukan persoalan berkaitan amalan yang boleh dilakukan oleh wanita dalam bulan Ramadan, termasuk bagi mereka yang sedang dalam keadaan haid.

Para panel menekankan bahawa wanita yang tidak boleh berpuasa atau solat masih boleh mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir, selawat, doa, menghadiri majlis ilmu, serta melakukan kerja kebajikan seperti bersedekah dan membantu golongan memerlukan.

Program ini diakhiri dengan sesi penggulungan dan sesi fotografi sebagai kenangan. Diharapkan perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada para peserta untuk terus mengamalkan amalan yang mulia sepanjang bulan Ramadan dan menjadikan bulan penuh keberkatan ini sebagai madrasah bagi membentuk peribadi Muslimah yang lebih baik. Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan dan membawa manfaat kepada ummah.