Oleh : Muhammad Aidil Arfan Othman, Nur Syarifah Mohd Isa dan Muhammad Farhan Linggi Muhamad Aswad Linggi
Tanjong Malim, 19 April 2025 – Program Dapur Kasih KHAR mencetuskan gelombang semangat gotong-royong dan kasih sayang dalam kalangan warga Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Program ini diadakan dengan tujuan untuk menggalakkan semangat kerjasama dalam kalangan penghuni melalui penyediaan makanan secara bergotong-royong untuk kira-kira 3,000 penghuni kolej.
Proses penyediaan makanan bermula seawal malam 18 April, melibatkan lebih daripada 200 wakil pelajar dari setiap blok penginapan, yang bertungkus-lumus memasak pelbagai juadah untuk seluruh warga KHAR.
Turut sama menyumbangkan tenaga dalam dapur ini ialah barisan felo kolej termasuk En. Mohd Izzat Abdul Rahman, Dr. Muhammad Sarifin dan En. Hazman Ya’akob yang turut membantu dalam kerja-kerja penyediaan makanan dan memberi motivasi kepada pelajar.



Makanan mula diedarkan kepada penghuni kolej tepat pada jam 12.30 tengah hari, 19 April, dengan agihan berjalan secara teratur dan sistematik. Sambutan daripada penghuni amat menggalakkan dan rata-rata menyatakan rasa syukur dan terharu atas inisiatif ini.
Pengarah Program, Hafizuddin Mohamad Zaki, menyifatkan kejayaan program ini sebagai hasil usaha kolektif dan semangat luar biasa para peserta, walaupun menghadapi beberapa cabaran teknikal.
“Cabaran utama ialah pengurusan masa dan tenaga kerja dalam tempoh yang panjang. Namun, dengan semangat pasukan yang kuat dan kerjasama dari semua pihak termasuk felo serta penyelarasan dari Majlis Ketua Blok, semua dapat dikendalikan dengan baik.
“Kepuasan paling besar ialah apabila makanan yang disediakan dapat dikongsi bersama seluruh penghuni itu adalah matlamat utama kami,” ujar beliau.



Sementara itu, Pengetua KHAR, Dr. Che Anuar Che Abdullah, menyifatkan program ini sebagai platform terbaik dalam membina sahsiah pelajar dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan dalam komuniti kolej.
“Dapur Kasih adalah simbol kasih sayang dan keprihatinan. Ia bukan hanya menyatukan pelajar dari blok-blok yang berbeza, malah turut menunjukkan kesungguhan barisan felo dalam mendidik dan membimbing pelajar secara praktikal. Ini adalah manifestasi pendidikan holistik yang ingin kita suburkan di KHAR,” katanya.
Kesan positif daripada program ini jelas kelihatan, bukan sahaja dalam bentuk makanan yang dikongsi bersama, tetapi juga dalam bentuk pengalaman, ikatan persaudaraan, dan semangat kekitaan yang kian kukuh antara penghuni.
Program Dapur Kasih KHAR ini diharap menjadi tradisi tahunan yang menyatukan warga KHAR dalam suasana harmoni dan penuh kasih sayang, sejajar dengan aspirasi untuk membentuk pelajar yang bukan hanya cemerlang akademik tetapi juga cemerlang sahsiahnya.