Oleh: Muhammad Zulhilmi Azahar dan Nuraisyah Abdul Aziz

Sabak Bernam, 18-20 April 2025– Institut Pemberdayaan Ummah Selangor (INSPENS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengadakan Kursus Pembangunan Insan Guru yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 18 hingga 20 April, bertempat di Institut Pemberdayaan Ummah Selangor (INSPENS). Kursus ini telah disertai 79 orang pelajar daripada yang terdiri daripada pelajar Semester 6 dan Semester 7, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini dirangka khusus bagi memupuk kesedaran jati diri, memperkukuh motivasi dalaman dan membentuk profesionalisme guru pelatih sebagai persediaan untuk menghadapi realiti dunia pendidikan yang penuh dengan cabaran. Selain itu, kursus ini juga bertujuan untuk meningkatkan daya kepimpinan, kecekapan komunikasi, dan kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta, agar mereka bukan sahaja menjadi pendidik, tetapi juga pembimbing dan pemimpin yang mampu mencorakkan masa depan negara.

Pada hari pertama program, peserta bertolak dari UPSI ke lokasi kursus sebelum memulakan sesi taklimat oleh pihak penganjur iaitu Ezwan Effendi Yosof dan Khalissafri Mohd Haslin. Setelah itu diteruskan lagi dengan bacaan ikrar oleh para peserta yang diketuai oleh Muhammad Azim Suzarwadi. Setelah itu diteruskan lagi dengn aktiviti ice breaking dalam kalangan peserta. Sesi ini bukan sekadar untuk berkenalan, malah bertujuan membina suasana selesa dan harmoni serta mengukuhkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta yang berasal dari pelbagai latar belakang.

Pada hari kedua pula menyaksikan pelaksanaan pelbagai aktiviti yang lebih mencabar dari segi fizikal, mental dan emosi. Aktiviti bermula dengan senaman kecergasan sebagai satu cara untuk meningkatkan daya tahan fizikal dan kesegaran minda. Seterusnya, beberapa slot utama dilaksanakan yang dikendalikan oleh Awaludin Bakar dan Firdaus, termasuklah slot Empowering Identity: Membentuk Jati Diri.

Pada sebelah malam, peserta terlibat dalam slot unik bertajuk Global Dialogue Challenge. Dalam slot ini, mereka diberi tugasan untuk memasang dan mendirikan bendera menggunakan lapan batang paip PVC dan dikukuhkan dengan tali rafia. Aktiviti ini bukan sahaja menguji daya kreativiti dan penyelesaian masalah, malah mendorong peserta untuk bekerjasama secara efektif di bawah tekanan masa, sekali gus menanam nilai kesabaran, fokus dan kepimpinan dalam situasi sebenar.

Hari terakhir program dimulakan dengan aktiviti explorace yang menggabungkan elemen fizikal dan intelektual secara dinamik. Aktiviti ini menggalakkan peserta untuk berfikir secara kritis, menyusun strategi dan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Kursus diakhiri dengan sesi refleksi menyeluruh di mana para peserta diberi ruang untuk berkongsi pengalaman, pandangan serta input berharga hasil daripada penyertaan mereka sepanjang program berlangsung.

Antara nilai utama yang dapat disimpulkan daripada keseluruhan program ini ialah kepentingan kerjasama berpasukan, pengawalan emosi dalam tekanan, keyakinan terhadap tujuan hidup, kesediaan menerima dan melaksanakan arahan, serta kejujuran terhadap diri sendiri. Kesemua nilai ini merupakan tunjang penting dalam pembinaan sahsiah seorang guru yang beretika dan berwibawa.

Secara keseluruhannya, Kursus Bina Insan Guru ini berjaya mencapai objektifnya dalam membentuk guru pelatih yang bukan sahaja berkepakaran dalam bidang akademik, malah mempunyai kekuatan dari segi spiritual, emosi dan sosial. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan lagi sebagai salah satu platform pembentukan identiti guru yang holistik dan bersedia menggalas amanah mendidik anak bangsa dengan penuh tanggungjawab.