Oleh : Maisarah Salsabila Mohd Jamel , Irfan Danish Mohd Sukri dan Cherliz Treacy Yahya

Taiping, 19 April 2025 – Seramai 40 orang mahasiswa/i telah menyertai program “Khazanah Perubatan Haiwan Gurun: Dari Hobi ke $$$” yang dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan  Sultan Idris (UPSI) sidang 2024/2025 bertempat di Dhabsinai Farm, Taiping, Perak Darul Ridzuan.

Program ini memberi pendedahan eksklusif kepada peserta tentang potensi ekonomi dan nilai kesihatan haiwan berdarah sejuk daripada spesies reptilia Timur Tengah, iaitu Dhab, yang semakin mendapat perhatian dalam bidang perubatan alternatif dan keusahawanan di Malaysia.

Haiwan berdarah sejuk daripada spesies reptilia Timur Tengah, iaitu Dhab
Sesi ceramah keusahawanan oleh pengasas Dhabsinai Farm

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah membersihkan kandang haiwan Dhab, menanam pokok bunga, memotong sayur-sayuran dan buah-buahan untuk makanan Dhab serta memberi makan kepada haiwan tersebut.

Program ini turut dimeriahkan dengan sesi ceramah keusahawanan oleh pengasas Dhabsinai Farm yang berkongsi perjalanan beliau dari seorang penternak hobi kepada usahawan berjaya yang membina empayar perniagaan berasaskan haiwan gurun.

Menurut wakil penganjur, objektif utama program ini adalah untuk memberi kesedaran bahawa dunia penternakan bukan hanya terhad kepada ayam dan kambing, malah reptilia seperti Dhab juga mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara sistematik dan beretika.

Peserta juga berpeluang melihat sendiri proses pembungkusan minyak dhab
Sesi fotografi kenangan bersama pemilik ladang

Peserta juga berpeluang melihat sendiri proses pembungkusan minyak dhab, yang dikatakan mempunyai khasiat tinggi untuk rawatan luaran dan dalaman, sekaligus membuka minda peserta tentang potensi keusahawanan produk berasaskan dhab di pasaran tempatan.

“Melalui program ini, kami berharap mahasiswa/i dapat membuka mata terhadap potensi industri penternakan reptilia sebagai satu bentuk keusahawanan baharu yang lestari, serta menanam sikap prihatin terhadap penjagaan haiwan eksotik,” kata salah seorang urus setia.

Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sesi fotografi kenangan bersama pemilik ladang. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memperluas ilmu serta melahirkan lebih ramai usahawan muda yang inovatif dan berdaya saing dalam bidang agroindustri dan penternakan moden.