Oleh: Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan & Dr. Nik Muhammad Hanis

Tanjong Malim, 30 April 2025 – Seramai 250 orang warga Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) terdiri daripada mahawasiswa-mahasiswa ISMP Pendidikan Khas, ISMP Kaunseling, pensyarah-pensyarah serta staf telah menjayakan Program Khidmat Masyarakat di Felda Trolak Selatan.

Program ini adalah siri kedua dijayakan di sini keseinambungan daripada program siri pertama Program Khidmat Masyarakat FPM pada tahun 2024. Program kali ini melibatkan aktiviti mengecat dan membersihkan kawasan Felda Trolak Selatan termasuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), kilang, tadika, perpustakaaan, taman permainan dan padang selain daripada aktiviti rewang memasak masakan tengah hari.

Program tahunan fakulti ini dijayakan bagi memastikan prinsip Kebitaraan Akademik bukan hanya berlegar dalam kehidupan di universiti namun berpaksi kepada realiti kehidupan komuniti, sesuai dengan slogan yang sering diungkap Dekan FPM, Prof. Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim, “Dari fakulti untuk komuniti.”

“Tujuan lain program ini adalah untuk mendedahkan mahasiswa ISMP Pendidikan Khas dan ISMP Kaunseling, mengenali salah satu pemegang taruh terkait dengan bidang mereka iaitu iaitu Pusat Pemulihan dalam Komuniti Sinar Bakti, Felda Trolak Selatan. Mahasiswa terutamanya ISMP Pendidikan Khas perlu kenal dan tahu tentang kewujudan PPDK dan kali ini kita membersihkan kawasan dan mengecat PPDK, serta rewang memasak di PPDK ini,” kata Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr Abdul Halim Masnan.

Pihak fakulti juga turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1000 wang tunai kepada pihak PPDK, hasil sumbangan pensyarah-pensyarah serta staf fakulti. Program ini diharapkan dapat memberi impak dan manfaat bukan hanya kepada komuniti, malah kepada mahasiswa, pensyarah dan staf FPM.