Oleh: Boniface Garin Anak Joannes

Tanjong Malim, 11 April 2025 – Pejabat Bendahari, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Jabatan Bendahari UPSI dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dan membina kerjasama strategik antara kedua-dua pihak demi kesejahteraan mahasiswa dan tadbir urus universiti yang lebih cekap.

Kunjungan ini telah diketuai oleh Mohammad Arif Aizat Sukry, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2024/2025 bersama barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2024/2025. Delegasi MPP telah disambut mesra oleh Bendahari UPSI, Tuan Haji Mohamad Najib Mohamed bersama beberapa pegawai kanan jabatan. Pertemuan ini berlangsung dalam suasana profesional dan terbuka, membolehkan kedua-dua pihak berkongsi pandangan serta membincangkan inisiatif yang boleh dimanfaatkan bersama.

Sesi perbincangan strategik antara MPP dan pihak Jabatan Bendahari berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif, membincangkan isu kebajikan mahasiswa serta penambahbaikan tadbir urus kewangan pelajar

Antara hasil dapatan sepanjang sesi kunjungan tersebut, pihak Jabatan Bendahari telah membentangkan latar belakang jabatan serta mengetengahkan beberapa kejayaan penting yang telah dicapai sebagai pencetus semangat kepada kepimpinan MPP sidang 2024/2025. Pembentangan tersebut memberikan gambaran jelas mengenai struktur pengurusan kewangan universiti, pencapaian audit cemerlang, pematuhan piawaian perakaunan, serta pengiktirafan dalam sistem pengurusan kewangan sektor awam. Pihak MPP menyambut baik maklumat yang dikongsikan ini sebagai asas pemahaman yang lebih mendalam terhadap fungsi dan peranan Jabatan Bendahari dalam menyokong pembangunan UPSI secara menyeluruh.

Dalam sesi tersebut, Mohamad Najib turut menyatakan bahawa Jabatan Bendahari bukan sekadar melaksanakan tanggungjawab pengurusan kewangan semata-mata, bahkan turut terlibat dalam pelaksanaan pelan strategik universiti. Menurut beliau, beberapa pelan strategik telah dirangka sebagai sebahagian daripada usaha melakar kejayaan jangka panjang UPSI dalam aspek kelestarian dan kecekapan pengurusan. Beliau menekankan bahawa Jabatan Bendahari turut memainkan peranan penting dalam menyokong projek pembangunan lestari seperti inisiatif tenaga boleh diperbaharui. Sebagai contoh, Jabatan Bendahari telah terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek tenaga solar di UPSI, yang berjaya menjimatkan kos pembinaan universiti sebanyak RM5 juta. Inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan, malah mencerminkan komitmen universiti terhadap pembangunan mampan dan kecekapan sumber.

Melalui jalinan ini, MPP UPSI optimis bahawa wujudnya ruang kolaborasi yang luas dengan Jabatan Bendahari dalam merealisasikan tadbir urus berintegriti dan mesra pelajar. Perjumpaan ini menjadi titik tolak ke arah hubungan yang lebih erat dan produktif antara badan kepimpinan mahasiswa dan pihak pengurusan kewangan universiti. MPP UPSI mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Bendahari atas kesudian menerima kunjungan ini dan berharap jalinan kerjasama yang terjalin akan memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem kampus, khususnya dalam memperkasakan kesejahteraan mahasiswa secara holistik.