Oleh: Siti Faeznurbalhqis Abdul Rahman

Tanjong Malim, 12 Mei 2025 – Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kelab Al-Mursyidin (AMC) dan Persatuan Rakan Siswa YADIM terus memperkasakan peranannya dalam pembentukan mahasiswa yang berilmu dan bertanggungjawab apabila telah berjaya menganjurkan Kursus Persediaan Ibadah Korban dan Aqiqah (Teori dan Praktikal) yang diadakan di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan warga khususnya pelajar UPSI. Kursus ini dipimpin oleh Ustaz Azahar Hashim Alhadrami iaitu Mudir Madrasah Rahmatan Lil Alamin yang berkongsi pengetahuan mendalam mengenai kaedah sempurna amalan sembelihan mengikut syariat Islam.

Program yang berlangsung pada hari Isnin ini sekitar jam 8.30 pagi bertujuan untuk memberi pemahaman tentang hukum syariat, melatih kemahiran praktikal penyembelihan mengikut Islam, serta memupuk penglibatan mahasiswa dalam aktiviti keagamaan dan khidmat masyarakat.

Program ini juga dapat mengeratkan ukhuwah sesama Muslim antara pelajar dan kakitangan universiti.

Program ini diadakan untuk menjelaskan kaedah yang betul dalam amalan sembelihan mengikut syariat Islam dan memberikan pemahaman maksud berkorban kepada kakitangan dan mahasiswa UPSI, membolehkan mereka berdepan dengan cabaran dan menjadi mukmin yang bertanggungjawab dan sejati dalam era perubahan sosial ini.

Kursus ini juga menyediakan latihan praktikal dalam penyembelihan dan pengurusan daging dan membantu membina keyakinan diri peserta serta memupuk semangat kerjasama dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Selain itu, menggalakkan pendekatan dakwah sepanjang hayat, dengan matlamat mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan warga UPSI.

Acara ini bermula dengan sesi praktikal sembelihan 2 ekor kambing dan 20 ekor ayam di dapur Masjid Al-Mursyidin bersama semua mahasiswa dan kakitangan yang hadir.

Seterusnya, sesi ini diteruskan dengan slot teori sembelihan serta perbincangan yang lebih kukuh dan asas tentang cara, hukum, kesilapan yang begitu teliti di bilik seminar Pusat Islam UPSI.

Selain menyediakan platform untuk perbincangan dan perkongsian ilmiah, kursus ini juga berupaya mengimarahkan majlis ilmu sepanjang hayat untuk kepentingan ummah.

Program ini juga telah mendapat sambutan yang begitu bersemangat dan penyertaan yang memberangsangkan, diharapkan program ini dapat memberikan manfaat besar kepada semua peserta dan memupuk semangat persaudaraan serta kecintaan kepada ilmu dalam kalangan warga UPSI.

Semoga kursus ini juga membuka minda mahasiswa tentang kepentingan ibadah korban dan akikah dalam Islam, sekaligus menguatkan lagi semangat untuk mengamalkannya dengan penuh keikhlasan serta menyumbang kepada masyarakat.

Penyertaan yang signifikan ini menunjukkan bahawa mahasiswa dan mahasiswi UPSI sentiasa dahagakan ilmu dan bersedia untuk memanfaatkan setiap peluang yang diberikan untuk memperkaya keupayaan dan nilai diri dengan pengetahuan yang berguna.

Program yang dianjurkan ini menunjukkan UPSI terus komited dalam memastikan pembangunan mahasiswa dan mahasiwi tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga pada pembentukan sahsiah yang unggul dan meningkatkan kualiti diri serta mempunyai kefahaman mendalam tentang amalan agama dan kemahiran praktikal yang penting dalam kehidupan seharian.