Oleh: Dr. Erni Marlina Saari
Tanjong Malim, 28 April 2025 – Seramai 28 orang pelajar Semester 4 daripada kursus DGM3013 Reka Bentuk dan Pembangunan Permainan Digital, Fakulti Komputeran dan Teknologi Maklumat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai satu lawatan sambil belajar ke Escape Penang, salah satu taman tema sukan lasak yang terkenal di Malaysia.
Lawatan ini diketuai oleh pensyarah kursus tersebut, Dr. Norshahila Ibrahim dengan objektif utama untuk memberikan pendedahan langsung kepada pelajar tentang pelbagai jenis aktiviti dan sukan ekstrem yang boleh dijadikan inspirasi dalam penciptaan permainan digital.
“Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi pelajar pengalaman autentik dengan elemen cabaran fizikal dan emosi yang terlibat dalam sukan lasak. Ia penting untuk menghasilkan rekaan permainan yang realistik dan berkesan dari segi naratif serta mekanik permainan,” jelas Norshahila Ibrahim.


Sepanjang lawatan, para pelajar berpeluang mencuba pelbagai aktiviti seperti Slingshot, Zip Coaster, Monkey Business, Gecko Tower, Atan’s Leap dan pelbagai lagi permainan fizikal yang menuntut ketangkasan, keseimbangan serta keberanian.
Sebagai tugasan susulan, pelajar dikehendaki mencipta konsep permainan digital baharu berdasarkan pengalaman mereka di Escape. Tugasan ini menekankan aspek reka bentuk permainan yang inovatif dan mampu menyampaikan semangat cabaran, kerjasama serta ketahanan yang dirasai semasa menjalani aktiviti-aktiviti tersebut.
Salah seorang pelajar, Arsyad Arifin, berkongsi bahawa lawatan ini bukan sahaja menyeronokkan, malah mencetuskan banyak idea baharu yang boleh dimanfaatkan dalam tugasan akhir kursus mereka.
“Melalui pengalaman secara langsung, kami dapat memahami bagaimana sesuatu aktiviti itu boleh diterjemahkan kepada elemen permainan yang mencabar dan menarik,” katanya.


Lawatan ini mencerminkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang semakin ditekankan dalam pendidikan tinggi, khususnya dalam bidang teknologi kreatif dan pembangunan permainan.
Diharapkan aktiviti seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi demi melahirkan graduan yang berinovatif, kreatif dan berpandangan jauh dalam industri permainan digital.
