Oleh: DR. JAMILAH MOHD BASIR

Tanjong Malim, 10 Julai 2025 – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah diberi penghormatan untuk membentangkan kemas kini terkini sistem National Child Data Centre (NCDC 2.0) kepada YB Dato’ Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Sesi ini turut dihadiri oleh Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha, KPWKM serta En. Mohd Daud bin Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM di Bangunan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kuala Lumpur.

Sesi pembentangan ini memberi tumpuan kepada fungsi baharu dan penambahbaikan dalam NCDC 2.0 yang dibangunkan oleh NCDRC.

Sistem ini dicadangkan untuk dimanfaatkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebagai satu platform data bersepadu untuk menyokong penggubalan dasar dan pemantauan pembangunan awal kanak-kanak di Malaysia.

Dalam sesi ini, pasukan NCDRC yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Mazlina Che Mustafa dan Ts. Eimiza Faisha Azmi telah memperincikan bagaimana NCDC 2.0 berfungsi sebagai sistem pintar yang membolehkan pengumpulan, penganalisisan, dan pelaporan data kanak-kanak secara menyeluruh merentas negeri, kategori umur, dan jenis perkhidmatan.

Penambahbaikan yang dikemaskini adalah termasuk antaramuka pengguna yang lebih mesra dari segi capaian data masa nyata (real-time), sub-modul baharu yang boleh dimanafaatkan oleh pelbagai kementerian serta elemen keselamatan data yang dipertingkat.