Kumpulan penyelidik UPSI bergambar bersama penduduk Kampung Muhibbah Ladang 3 setelah selesai proses pengumpulan data.Kumpulan penyelidik UPSI bergambar bersama penduduk Kampung Muhibbah Ladang 3 setelah selesai proses pengumpulan data.

Oleh: Bazli Razak

MIRI, 5 Ogos – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama menjalankan penyelidikan khusus berkaitan sejarah dan warisan komuniti Bugis di Sarawak.

Penyelidikan tersebut dibiayai melalui geran penyelidikan jangka pendek berjumlah RM10,000 dengan objektif utama untuk mengenal pasti serta mendokumentasikan nilai sejarah dan identiti komuniti Bugis yang telah lama menetap di Bumi Kenyalang.

Projek yang diketuai oleh Dr Shakila Che Dahalan itu turut melibatkan Prof Khairi Arifin, Dr Yunus Sauman dan Dr Ahmad Farhan Abdullah@Zakaria dari Jabatan Sejarah, FSK UPSI, selain kolaborasi penyelidik luar, Dr Sitti Hasnah Bandu dan Dr Alwi Daud.

Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa berkata, inisiatif yang diterajui oleh Jabatan Sejarah ini membuktikan komitmen UPSI dalam memartabatkan sejarah komuniti minoriti yang sebelum ini kurang diberi perhatian dalam arus penyelidikan arus perdana.

“Kajian ini memberi dimensi baharu dalam landskap penyelidikan sejarah negara kerana ia bukan sahaja mengangkat identiti etnik Bugis di Sarawak, tetapi turut menyumbang kepada usaha pendigitalan dan pemeliharaan khazanah budaya yang semakin terpinggir.

Beliau turut menegaskan bahawa penyelidikan seperti ini selari dengan hasrat universiti untuk memperkukuh peranan dalam menghasilkan ilmu yang relevan dengan keperluan masyarakat setempat serta menyumbang kepada dasar pembangunan negara berasaskan nilai dan warisan.

“FSK UPSI amat komited menyokong penyelidikan berasaskan komuniti, terutama yang melibatkan etnik dan budaya tempatan yang unik.

“Hasil penyelidikan ini bukan sahaja penting untuk dunia akademik, malah menjadi sumbangan bermakna kepada sejarah sosial Malaysia,” ujar beliau.

Sementara itu, Dr Shakila berkata, penyelidikan ini memberi tumpuan kepada pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif melalui kajian lapangan dan temu bual bersama komuniti Bugis di beberapa kawasan penempatan sekitar Sarawak.

“Penemuan awal menunjukkan bukti kukuh terhadap susur galur pergerakan masyarakat Bugis ke Sarawak. Malah, komuniti di sini masih mengekalkan adat dan budaya yang mempunyai persamaan ketara dengan masyarakat di Sulawesi.

Tambah beliau, projek ini turut merintis usaha pendigitalan sumber sejarah Bugis melalui pembangunan dokumentasi, penghasilan kandungan visual seperti dokumentari, serta pembinaan naratif digital berkaitan sejarah komuniti tersebut.

Beliau berkata, dalam masa terdekat, Jabatan Sejarah UPSI akan menerbitkan hasil kajian ini dalam bentuk buku ilmiah, artikel jurnal serta bahan pendidikan digital untuk kegunaan akademik dan pengkaji dalam bidang sejarah, antropologi dan pendidikan warisan.

“Langkah tersebut selaras dengan misi UPSI untuk menerajui penyelidikan sejarah berimpak tinggi, berasaskan komuniti serta menyumbang kepada pemeliharaan khazanah warisan negara,” katanya.

Sesi temubual penyelidik bersama salah seorang penduduk kampung awal yang membuka kampung.
Perbincangan penyelidik bersama pengurusan kampung Muhibbah Ladang 3.

Sementara itu, Ketua Kampung Muhibbah Ladang 3, Hassan Malik turut menyambut baik usaha penyelidikan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu langkah penting dalam pemeliharaan warisan etnik di Sarawak.

“Lawatan dan kajian oleh Jabatan Sejarah UPSI sangat dialu-alukan kerana ia membantu menonjolkan warisan budaya yang kaya dalam kalangan komuniti Bugis di sini. Tanpa dokumentasi seperti ini, banyak nilai sejarah mungkin lenyap begitu sahaja,” katanya.