Oleh: Profesor Madya Dr. Harozila Ramli, Pensyarah Kanan, Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan sekadar sebuah institusi pengajian tinggi, tetapi sebuah mercu tanda sejarah pendidikan negara yang teguh berdiri sejak penubuhannya pada tahun 1922 sebagai Sultan Idris Training College (SITC). Selama lebih satu abad, universiti ini menjadi pusat lahirnya tokoh pendidik, pejuang bangsa, dan cendekiawan yang memacu kemajuan pendidikan serta pemikiran Melayu. Kini, UPSI terus mengorak langkah dalam memelihara warisan sambil memacu inovasi, termasuk melalui inisiatif unik iaitu penciptaan blok batik beridentiti universiti.
Projek penyelidikan ini membawa misi besar: menghasilkan rekaan blok batik yang bukan sahaja memperindah seni hiasan, malah menjadi medium penceritaan visual yang menghubungkan sejarah gemilang UPSI dengan aspirasi masa hadapan. Gabungan motif, warna, dan simbolisme yang teliti diolah bagi mencipta satu identiti visual yang menjadi kebanggaan warga universiti dan memperkenalkan keunikan UPSI ke persada nasional dan antarabangsa.


Simbolisme dalam Rekaan
Proses reka bentuk blok batik ini berpaksikan interpretasi mendalam terhadap elemen visual UPSI. Simbol bunga lapan kelopak melambangkan nilai keislaman, molekul mencerminkan sains dan teknologi, buku menjadi tanda ilmu dan pencerahan, manakala keris melambangkan warisan, kekuatan, dan keberanian bangsa. Setiap unsur ini diolah semula melalui pendekatan stilisasi, menghasilkan rekaan batik yang mengekalkan makna asal sambil menepati estetika moden.
Motif utama ialah gabungan Motif Arabesque (bunga lapan kelopak) dan Molekul. Motif Arabesque yang diadaptasi daripada logo rasmi UPSI mencerminkan falsafah universiti berasaskan lapan elemen: Keimanan, Kebijaksanaan, Kebudayaan, Ketamadunan, Kemanusiaan, Kemasyarakatan, Kenegaraan, dan Kecemerlangan. Molekul pula menandakan penekanan UPSI dalam melahirkan tenaga kerja progresif dalam bidang sains dan teknologi. Gabungan ini mengekalkan kesinambungan identiti visual UPSI sambil memberi nafas baharu kepada seni batik, mengharmonikan warisan budaya dengan visi masa depan.
Inspirasi Seni Bina Ikonik
Rekaan blok batik ini turut mengambil inspirasi daripada seni bina ikonik kampus, termasuk bentuk bumbung dan tingkap melengkung Bangunan Suluh Budiman, serta elemen dari Auditorium, Bangunan E-Learning, dan Bangunan Tadahan Selatan. Setiap adaptasi seni bina ini melambangkan perkembangan fizikal dan kemajuan prasarana universiti sejak era SITC sehingga kini.
Prototaip blok batik dihasilkan sebagai fasa percubaan untuk menguji keserasian motif sebelum penghasilan blok akhir. Ia memastikan setiap corak yang terhasil benar-benar mencerminkan identiti UPSI. Batik ini bukan sekadar karya hiasan, tetapi manifestasi visual yang mengangkat kebitaraan universiti dalam seni warisan bangsa.



Nilai Estetika dan Potensi Komersial
Batik sebagai medium seni tekstil tradisional Malaysia mempunyai nilai estetika tinggi dan naratif budaya mendalam. Rekaan blok batik beridentiti UPSI ini dilihat berpotensi besar untuk diaplikasikan pada pakaian rasmi, cenderamata, dan produk promosi. Selain memperkukuh identiti korporat, ia juga mampu menjadi duta seni warisan di pentas global.
Hasil tekapan reka corak blok batik ini menggabungkan harmoni antara motif bangunan Suluh Budiman dan struktur pintu gerbang kampus dalam bentuk garisan geometri berulang. Corak yang terhasil menyerlahkan komposisi seimbang, halus namun berkarakter, menjadikan rekaan ini memiliki nilai estetika dan simbolisme yang tinggi.


Kesimpulan
Projek ini direalisasikan dengan sokongan dana Research Management and Innovation Centre (RMIC) UPSI melalui Geran Penyelidikan Translasional (Kod: 2024-0091-107-01). Ia menjadi langkah awal yang signifikan ke arah penghasilan lima reka corak blok batik berdaftar hak cipta.
Hasil akhir projek ini diharap bukan sahaja memperkukuh identiti visual UPSI melalui simbolisme dan semiotik, tetapi juga membuktikan bahawa seni warisan batik mampu diterjemahkan secara inovatif dalam konteks kontemporari. Lebih daripada itu, ia diharapkan menjadi pemangkin kesinambungan kajian yang memartabatkan batik Malaysia di pentas nasional dan antarabangsa dalam mengukir satu lagi sejarah gemilang buat UPSI.

