Sesi bergambar kenangan bersama peserta, guru pengiring dan tetamu kehormat Program CILIK 2025

Oleh: Salahudin Mustaqim Ali

Tanjong Malim, 24 Jun 2025- Program Cabaran Interaktif Literasi Kenegaraan 2025 (CILIK 2025) merupakan sebuah program berkonsepkan penerokaan atau explorace yang menghimpunkan 28 penyertaan daripada sekolah menengah, pusat tingkatan enam dan kolej tingkatan enam sekitar negeri Perak dan Selangor. Program ini merupakan kesinambungan daripada CILIK 2024 yang hanya melibatkan sekolah-sekolah di Daerah Muallim.

Berteraskan aktiviti interaktif bertemakan kenegaraan, CILIK 2025 bukan sahaja menyeronokkan, malah menguji minda peserta dalam menyelesaikan tugasan di setiap checkpoint. Ia juga menjadi wadah menyampaikan ilmu berkaitan kenegaraan secara tidak langsung kepada pelajar sekolah, selari dengan usaha memperluaskan pengetahuan Pengajian Malaysia kepada masyarakat luar.

Program bermula pada jam 8.30 pagi dengan sesi pendaftaran dan taklimat pertandingan. Pertandingan Permainan CILIK bermula pada jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, melibatkan 15 checkpoint yang menampilkan pelbagai cabaran berbentuk fizikal, minda, dan berpasukan. Antara checkpoint yang disediakan termasuk permainan berstrategi, teka-teki, aktiviti keseimbangan, serta tugasan berkumpulan yang menekankan nilai kerjasama, komunikasi dan kepimpinan. Sepanjang pertandingan, peserta menunjukkan semangat bersaing secara sihat dan kekal bersemangat hingga ke akhir.

Majlis penutup bermula pada jam 12.45 tengah hari dengan ketibaan tetamu kehormat, termasuk pihak sekolah, wakil universiti dan Dr. Abu Zarrin Selamat, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Fakulti Sains Kemanusiaan, sebagai perasmi utama. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Perak dan lagu Ibu Kandung Suluh Budiman, diikuti bacaan doa. Persembahan oleh Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas) turut memeriahkan suasana sebelum kemuncak majlis iaitu ucapan perasmian oleh Dr. Abu Zarrin, gimik perasmian dan tayangan video montaj yang menggamit memori sepanjang program.

SMK Methodist (Johan kategori Sekolah Menengah)
SMK Telok Datok (Johan kategori Tingkatan 6)

Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah dan saguhati kepada para peserta dan pemenang. SMK Methodist dinobatkan sebagai Johan Kategori Sekolah Menengah, manakala SMK Telok Datok muncul Johan Kategori Tingkatan Enam. Program diakhiri dengan nyanyian lagu Cemerlang Bersama sebelum peserta bersurai pada jam 2.00 petang.

Secara keseluruhannya, CILIK 2025 berjaya mencapai objektif penganjurannya iaitu meningkatkan pengetahuan kenegaraan kepada masyarakat luar khususnya pelajar sekolah, menggalakkan mahasiswa terutamanya mahasiswa pendidikan, menyampaikan ilmu dalam bentuk interaktif dan menyeronokkan, serta mengetengahkan bidang Pengajian Malaysia sebagai ilmu kenegaraan yang relevan untuk pelajar sekolah. Dengan penglibatan aktif peserta dan kelancaran pelaksanaan, program ini membuktikan keberkesanan pendekatan interaktif dalam menyampaikan ilmu kenegaraan dan wajar diteruskan pada masa hadapan.