Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Nor Muhammad Hazim Mazuki
SINTOK, 17 Ogos – Pasukan wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila memecahkan rekod kejohanan dalam acara 4×100 meter wanita pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 3 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM) dari 15 hingga 17 Ogos lalu.
Quartet pecut UPSI mencatatkan masa 47.67 saat sekali gus mengatasi rekod lama 48.47 saat milik Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus mengangkat maruah universiti sebagai kuasa besar olahraga IPT.
Kecemerlangan kontinjen olahraga UPSI berterusan apabila menamatkan saingan selaku naib juara keseluruhan dengan pungutan 31 pingat yang terdiri daripada 10 emas, 11 perak dan 10 gangsa.
Antara pencapaian membanggakan adalah kejayaan pelari pecut, Danish Iftikar yang menjuarai acara 100 meter lelaki dengan catatan 10.43 saat, manakala dalam acara lompat jauh lelaki, UPSI mendominasi sepenuhnya dengan sapuan pingat emas, perak dan gangsa.
Kejohanan itu turut menjadi pentas pemilihan apabila seramai 20 atlet UPSI disenarai untuk mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) ke Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-10 yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, dari 1 hingga 7 September ini.


Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff ketika mengulas kejayaan itu berkata pencapaian atlet berkenaan adalah bukti program pembangunan sukan universiti berada di landasan yang tepat.
“UPSI sentiasa komited dalam melahirkan atlet pelapis negara melalui sistem latihan yang bersistematik dan sokongan padu universiti.
“Kejayaan memecah rekod dan penguasaan dalam beberapa acara utama ini membuktikan kemampuan atlet kita bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kejayaan itu sebagai suntikan semangat buat kontinjen UPSI yang bakal menggalas cabaran lebih besar di SIPMA nanti.
