Oleh: Adi Ratna Mohammed Nor
Kuala Lipis, 14 Ogos 2025 – Program Eksplorasi Jejak Warisan Geologi & Arkeologi dianjurkan sempena Hari Terbuka ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni‘ di SMK Merapoh, Lipis, bermula 14 hingga 16 Ogos 2025.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Dato’ Mustapa Haji Long, DIMP, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Lipis. Kehadiran beliau memberi suntikan semangat serta sokongan padu dalam memperkasa pendidikan, di samping memelihara warisan geologi dan arkeologi setempat.







Program ini turut melibatkan Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menyertai pameran bertema ‘Malaysia: Dari Pra Sejarah Kepada Sejarah‘. Pameran berkenaan menampilkan evolusi tamadun tanah air daripada zaman awal manusia hingga ke era kerajaan Melayu tradisional, menggunakan bahan interaktif, artifak rekaan serta medium digital bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang autentik dan holistik.
Penganjuran ini menghimpunkan murid, guru, pensyarah, komuniti setempat serta agensi berkaitan sebagai kumpulan sasaran. SMK Merapoh berperanan bukan sahaja sebagai institusi pendidikan, tetapi juga sebagai hab ilmu setempat yang mengangkat potensi geografi dan sejarah tempatan untuk pendidikan berteraskan alam dan warisan.
Program ini memberi penekanan kepada pemeliharaan nilai budaya, warisan serta ilmu pengetahuan dalam membentuk masyarakat berilmu, berintegriti dan berperadaban. Melalui pameran, perkongsian ilmu dan lawatan ke lokasi terpilih, peserta didedahkan kepada kepentingan memelihara warisan geologi dan arkeologi tempatan.
Selain meningkatkan kesedaran terhadap sejarah, sains bumi dan budaya, program ini turut membangunkan kemahiran insaniah dalam kalangan murid seperti kepimpinan, kerjasama, komunikasi dan pemikiran kritis. Usaha ini juga berjaya mengeratkan hubungan antara sekolah, komuniti setempat dan agensi berkaitan, seiring prinsip keterangkuman dan penyantunan dalam kerangka Malaysia MADANI.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memperkukuh jalinan sekolah dengan masyarakat, malah menzahirkan aspirasi Malaysia MADANI dengan mengangkat warisan, memperkayakan ilmu dan menyemai kecintaan generasi muda terhadap sejarah, budaya dan alam sekitar.





Selain pameran dan perkongsian ilmu, antara acara utama ialah Program Bicara Sejarahwan yang disampaikan oleh PM Dr. Azmi Ariffin dari Universiti Sains Malaysia (USM), serta rakaman podcast TV PSS SKM dan SK Clifford. Program ini turut mendapat sokongan komuniti tempatan termasuk peniaga pasar malam sekitar Merapoh.
Suasana hari terbuka turut dimeriahkan dengan aktiviti jualan seperti car boot sale, food truck, Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah, jualan automotif, elektrik, pertanian serta Soopa Doopa yang menjadi tarikan pengunjung.
Bagi mengangkat budaya dan tradisi masyarakat, turut dipersembahkan tarian tradisional dan etnik, pertandingan masakan, pertandingan wau, persembahan silat serta Forum Perdana yang menampilkan kepelbagaian seni dan warisan budaya tempatan.
Hari Terbuka Madani bukan sahaja menjadi wadah meraikan pendidikan dan warisan, malah berperanan sebagai platform inklusif yang mengukuhkan hubungan antara sekolah, komuniti dan agensi kerajaan, seiring aspirasi Malaysia MADANI.
