Oleh : Ts. Abdul Mueiz Rosli
Tanjong Malim, 3 September 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengekalkan rekod kemenangan di pentas negeri apabila kumpulan nasyid Bitara Voices di bawah naungan Pusat Kebudayaan (PUSKEB) meraih tempat kelima daripada 18 finalis pada Pertandingan Nasyid Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M anjuran Jabatan Agama Islam Perak yang berlangsung di Dewan Serbaguna, SUK Perak.
Dengan kemenangan ini, UPSI berjaya mengekalkan rekod naik ke pentas kemenangan selama tiga tahun berturut-turut – Johan pada 2023, tempat keempat pada 2024 dan kini tempat kelima pada 2025 – sekaligus membuktikan kesinambungan kecemerlangan UPSI dalam bidang seni nasyid.



Tahun 2023 dan 2024 UPSI diwakili oleh kumpulan nasyid D’Kesakti, manakala tahun ini giliran Bitara Voices pula mengambil alih tanggungjawab dan berjaya meneruskan rekod kemenangan, sekaligus memperkenalkan kumpulan baharu ini sebagai pelapis yang berpotensi besar.
Pada pertandingan kali ini, Bitara Voices mempersembahkan lagu “Layar Keinsafan” yang dipopularkan oleh kumpulan nasyid tanah air terkenal, Mestica, dan berjaya memukau para juri dengan harmoni vokal serta penghayatan lirik yang mendalam.
Kemenangan ini turut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500 beserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak kepada kumpulan sebagai pengiktirafan atas usaha dan persembahan cemerlang mereka.
Bitara Voices dianggotai oleh Ts. Abdul Mueiz Rosli (Ketua Kumpulan) dari Pusat ICT, Mohd Fadhli Rosli dari UKLK, dan Prof. Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan dari FPM – ketiga-tiganya merupakan ahli kumpulan nasyid tanah air, Bitara (Bicara Tanpa Ragu) – bersama-sama Dr. Tajul Rosli bin Shuib dan Dr. Mohamad Albaree bin Abdul (kedua-duanya dari FPM) serta Zuhal bin Saari dari NCDRC.
Pasukan ini adalah gabungan ahli PEKA (Persatuan Kakitangan Akademik), PRESTASI (Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UPSI) dan KPA (Kesatuan Pegawai Awam).
Pengurus pasukan ialah Encik Anuar Borhan dari PUSKEB yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran persediaan pasukan.


Ketua kumpulan, Ts. Abdul Mueiz, melahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut walaupun berdepan cabaran masa akibat komitmen kerja hakiki.
“Alhamdulillah, walaupun kami sibuk dengan tugasan harian, kami tetap berusaha memberikan persembahan terbaik.
“Persaingan saban tahun semakin sengit dengan penyertaan kumpulan-kumpulan hebat dari seluruh Negeri Perak.
“Terima kasih kepada PUSKEB atas kepercayaan dan sokongan, serta tahniah kepada semua ahli kumpulan atas dedikasi mereka.
“Penyertaan sebegini bukan sahaja menyerlahkan bakat warga UPSI, tetapi turut mengeratkan tali kekeluargaan dalam kalangan staf. Insya-Allah, kami akan kembali tahun hadapan dengan lebih cemerlang,” katanya.
Kejayaan ini menjadi bukti bahawa UPSI terus melahirkan bakat-bakat seni yang mampu bersaing di peringkat negeri, sekaligus memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memupuk pembangunan sahsiah dan bakat kreatif warga kampus.
