Murid-murid tahun 2 bersama Ibu Bapa yang turut hadir memberi sokonganMurid-murid tahun 2 bersama Ibu Bapa yang turut hadir memberi sokongan

Oleh: Siti Fatimah Mohamed dan Dr. Kama Shaffeei

Ipoh, 27 September 2025 – Sekolah Rendah Seri Budiman telah menyertai Karnival Pendidikan Swasta Negeri Perak 2025 yang dianjurkan oleh Unit Pendidikan Swasta, Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Program berprestij ini berlangsung di Mydin Meru Raya Hipermarket, Ipoh dan menghimpunkan pelbagai sekolah swasta dari seluruh negeri bagi memperkukuh jaringan pendidikan serta menampilkan keunikan masing-masing.

Murid-murid Tahun 2 Sekolah Rendah Seri Budiman turut diberi kepercayaan mempersembahkan Choral Speaking bertajuk Glory SRSB sebagai salah satu acara selingan.

Persembahan yang diadakan pada jam 1.00 petang itu telah berjaya menarik perhatian para pengunjung dan menyerlahkan bakat murid dalam berkomunikasi secara berpasukan.

Selain persembahan, sekolah juga terlibat dalam pameran pendidikan yang menjadi tumpuan utama karnival. Antara pengisian pameran ialah inovasi guru dan murid, modul pembelajaran berasaskan Pendekatan Neoterik yang dibangunkan oleh pensyarah-pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta jualan produk keluaran sekolah.

Pameran tersebut memberi peluang kepada pengunjung untuk menilai secara lebih dekat usaha sekolah dalam memperkaya pengalaman pembelajaran murid dan mempertingkat kualiti pengajaran.

Guru-guru bertugas bergambar di booth pameran dan jualan Sekolah Rendah Seri Budiman
Murid-murid bersedia untuk membuat persembahan
Murid-murid tahun 2 sedang melakukan persembahan di pentas utama

Lebih menarik, sokongan padu daripada para ibu bapa turut menyerikan program ini. Kehadiran mereka bukan sahaja menyemarakkan semangat murid untuk tampil dengan penuh keyakinan, malah memperlihatkan jalinan kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam memastikan kejayaan penyertaan tersebut.

Penyertaan Sekolah Rendah Seri Budiman dalam karnival ini dilihat sebagai pengalaman berharga yang bukan sahaja mengasah bakat murid, malah memperkenalkan hasil inovasi pendidikan sekolah kepada masyarakat.

Karnival ini sekali gus menjadi wadah penting dalam menghubungkan sekolah swasta di Negeri Perak, di samping mengukuhkan kerjasama pendidikan ke arah melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing dan berkualiti.