Oleh: Putri Erra Elyana Sharizall
Tanjong Malim, 15 Oktober 2025– Program Millenia Bubble Run: Mental Health X Malaysia Day telah melakar sejarah apabila berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book of Records sebagai program larian yang menghimpunkan lebih daripada 2,000 peserta. Program anjuran Majlis Perwakilan Pellajar UPSI ini diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dalam kalangan pelajar serta masyarakat setempat.
Inisiatif ini juga mendukung Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) serta seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3 – Good Health and Well-Being, yang menekankan kepentingan kesejahteraan fizikal dan mental sebagai asas kepada pembangunan masyarakat yang sejahtera.

Sebagai persatuan yang aktif dalam kegiatan kesukarelawanan dan kesejahteraan sosial, Persatuan Geografi (PERGEO) turut mengambil bahagian dengan membuka booth pameran kesihatan mental dan menjalankan aktiviti jualan. Pameran yang dijalankan memberi tumpuan kepada pendedahan mengenai terapi hijau, hormon stres, teknik pengurusan emosi, dan kepentingan keseimbangan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar.

Penyertaan PERGEO dalam program ini bukan sahaja memberi peluang kepada ahli untuk memperluas pengetahuan mengenai kesihatan mental, malah memperkukuh semangat kesukarelawanan dan kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa. Aktiviti seperti ini juga membantu mempererat hubungan antara pelajar daripada pelbagai fakulti melalui perkongsian ilmu dan pengalaman.
Secara keseluruhannya, penglibatan PERGEO dalam Millenia Bubble Run: Mental Health X Malaysia Day bukan sekadar menyemarakkan semangat Hari Malaysia malah menjadi platform bermakna untuk memupuk kesedaran terhadap kesihatan mental dan memperkukuh jati diri mahasiswa UPSI sebagai individu yang prihatin, sihat dan berdaya saing.