Gambar peserta bersama fasilitator Excelerate di akhir program.Gambar peserta bersama fasilitator Excelerate di akhir program.

oleh: Puan Nora Liza Abdul Kadir


Tanjong Malim, 14 Oktober 2025 –
Dalam pasaran kerja masa kini yang semakin mencabar, sesi temuduga bukan lagi sekadar prosedur formal dalam proses pengambilan pekerja, tetapi menjadi penentu utama kejayaan seseorang calon untuk menambat hati bakal majikan.

Menyedari kepentingan ini, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) dengan kerjasama Excelerate Sdn. Bhd. telah menganjurkan program UPSI Career Workshop: Ace Your Interview Session Plan, bertempat di Bilik Seminar, Blok 1, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Fasilitator dari Excelerate memberi penerangan di depan dewan.
Peserta memberi tumpuan terhadap sesi bersama fasilitator Excelerate Sdn. Bhd.

Seramai 30 pelajar daripada pelbagai fakulti telah menyertai bengkel ini yang memberi tumpuan kepada strategi dan kemahiran menghadapi temuduga dengan lebih yakin serta berkesan.

Program ini dirancang bagi membantu pelajar memahami keperluan sebenar dunia pekerjaan dan mempersiapkan diri mereka untuk menjadi calon yang menonjol di mata majikan.

Objektif utama bengkel ini adalah untuk mendidik pelajar tentang perkara yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas menghadiri temuduga kerja.

Melalui sesi interaktif yang dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman, peserta didedahkan kepada teknik komunikasi berkesan, cara menjawab soalan dengan yakin, serta kepentingan penampilan diri yang profesional dan meyakinkan.

Selain sesi perkongsian teori, pelajar turut berpeluang menyertai simulasi temuduga sebenar yang dikendalikan oleh fasilitator dari Excelerate Sdn. Bhd.

Aktiviti ini memberi mereka pengalaman langsung menghadapi suasana temuduga sebenar, di samping membantu menilai tahap kesiapsiagaan diri masing-masing.

Menariknya, para peserta kelihatan amat teruja dan bersemangat sepanjang program berlangsung. Mereka juga aktif memberikan pandangan, berkongsi pengalaman, serta tidak teragak-agak bertanya soalan bagi memperkukuh kefahaman tentang teknik temuduga yang berkesan.

Dalam era pekerjaan yang kian kompetitif, kemahiran temuduga merupakan antara aspek terpenting bagi graduan yang ingin menonjol dalam pasaran kerja.

Majikan kini menilai bukan sahaja kelayakan akademik, tetapi juga keterampilan diri, keupayaan berkomunikasi dan kebolehan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.

Sesi berkumpulan dimana pelajar berkongsi pandangan.
Pelajar sedang buat simulasi temuduga bersama fasilitator dari Excelerate.

Oleh itu, bengkel seperti ini memainkan peranan penting dalam membantu pelajar memahami jangkaan majikan serta cara terbaik untuk mempersembahkan potensi diri mereka.

Penganjuran UPSI Career Workshop – Ace Your Interview Session Plan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan EDGE dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan UPSI.

Melalui pendedahan berstruktur dan bimbingan fasilitator industri, EDGE terus komited untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berkeyakinan, berdaya saing dan bersedia menempuh cabaran dunia pekerjaan sebenar.