UPSI, Tanjong Malim, 5 November 2025 – Dalam usaha memperkukuh hubungan akademik serta memperkasakan kemahiran insaniah pelajar, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Perjumpaan Mentor Mentee Perdana FKMT bertemakan “Mentor Hebat, Mentee Berwawasan” bertempat di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI

Program ini menghimpunkan pelajar-pelajar ISM dan ISMP (mentee) bersama para pensyarah (mentor) dalam suasana santai namun signifikan, bertujuan mewujudkan hubungan bimbingan yang lebih rapat dan mesra. Antara objektif utama program ini ialah untuk memberi ruang kepada mentor dan mentee bersua muka secara langsung, berbincang tentang kemajuan akademik, mengenal pasti isu atau cabaran yang dihadapi serta menyemai nilai empati dan tanggungjawab bersama.

Menurut Pn. Asmara binti Alias dan Pn. Rohaizah binti Abdul Wahid, selaku penyelaras utama program, pendekatan mentor-mentee adalah sebahagian daripada usaha fakulti dalam melahirkan graduan holistik dan seimbang.

“Kami percaya, apabila pensyarah dan pelajar mempunyai hubungan yang terbuka dan saling memahami, pelajar akan lebih yakin untuk berdepan cabaran akademik dan peribadi,” jelas Pn. Asmara.

Pn. Rohaizah pula menambah bahawa program ini tidak hanya berfokus kepada aspek akademik semata-mata, sebaliknya menyokong perkembangan emosi dan sosial pelajar.

“Ia juga menjadi platform untuk kami mengenal pasti pelajar yang memerlukan sokongan tambahan, selain menyampaikan maklumat fakulti secara terus dan menyeluruh,” katanya.

Program ini turut menerima sokongan padu daripada pihak Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Teknologi Pintar, serta disumbang oleh Akaun Amanah Perkhidmatan Pelajar, JHEPA UPSI yang memungkinkan penyediaan logistik, makanan dan bahan program secara selesa dan teratur untuk semua peserta.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal pelajar dan Alumni), Ts. Dr. Nazre bin Abdul Rashid, dan diteruskan dengan pelbagai aktiviti berfokus seperti taklimat, perbincangan mentor-mentee serta aktiviti sembang santai.

Perhatian audiens beralih kepada satu sesi khas – Sembang Santai bersama Saudara Muhammad Hareez bin Adzrami atau pun lebih dikenali sebagai Haroqs, mahasiswa ISM Kejuruteraan Perisian FKMT yang baru-baru ini menyertai Konvoi Sumud Global Flotilla ke Gaza, Palestin. Dalam perkongsian beliau, Haroqs menggambarkan pengalaman dalam misi kemanusiaan itu sebagai satu perjalanan rohani dan perjuangan jiwa yang mendalam.

Kisah beliau kemudiannya diabadikan dalam bentuk penulisan melalui e-book bertajuk “37 Hari Menuju Gaza” yang turut dilancarkan dalam program ini. E-book ini boleh didapati secara dalam talian dengan konsep sumbangan terbuka, membolehkan masyarakat menyumbang seikhlas hati untuk tujuan kebajikan Palestin.

Sebagai pengiktirafan terhadap keberanian, semangat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan yang ditonjolkan, pihak fakulti turut menobatkan beliau sebagai Ikon Kesukarelawanan HEPA FKMT 2025 – satu penghormatan bagi mahasiswa yang menjulang semangat universiti ke persada antarabangsa.

Program Perjumpaan Mentor Mentee Perdana FKMT 2025 bukan sahaja mencapai matlamat akademik, malah menyerlahkan dimensi kemanusiaan dan empati dalam kalangan warga fakulti. Ia menjadi bukti bahawa FKMT UPSI komited melahirkan modal insan kelas pertama yang bukan sekadar cemerlang di bilik kuliah, malah bersedia menyumbang kepada masyarakat global dengan jiwa besar dan sahsiah terpuji.