Oleh: Dr Noor Hidayah Che Lah, Penyelaras RISE@UPSI & Inovasi, RMIC UPSI

Putrajaya, 4 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus membuktikan keunggulannya sebagai universiti pendidikan berteraskan inovasi apabila mencuri tumpuan di Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2025, yang berlangsung dari 4 hingga 9 November 2025 di Putrajaya.

Penyertaan berprestij ini dikendalikan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC,UPSI) yang mengetengahkan barisan produk penyelidikan terbaik hasil inovasi penyelidik UPSI – membuktikan keupayaan universiti ini dalam melahirkan penyelidik berwibawa serta produk berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.

Antara inovasi yang menjadi tumpuan pengunjung dan pakar industri termasuk:

  1. MUMTAZ 9A oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Zulfiqar Shah Abdul Hadi (Fakulti Sains Kemanusian)
  2. Sistem Profil NCDC – Pendidikan Awal Kanak-Kanak oleh Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustaffa (National Child Development Research Centre-NCDRC)
  3. Inovasi Pendekatan Neoterik Dalam Teknologi oleh Dr. Kama Shafie (Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan)
  4. Program Persijilan Profesional Guru Takmir oleh PM. Dr. Saipolbarin bin Ramli (Fakulti Bahasa dan Komunikasi)
  5. Perkembangan Pendidikan di Malaysia – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) oleh Prof. Dr. Tajul Shuhaizam bin Said (Institut Peradaban Melayu)
  6. Kurikulum dan Modul Thalatha TIS’A oleh PM. Dr. Norazilawati binti Abdullah (Fakulti Pembangunan Manusia)
  7. E-Lounia 2.0: Gamifying STEM Concepts Using Numeracy Understanding Model in Arithmetic for School in Hospital oleh PM. Dr. Siti Rahaimah Ali (Fakulti Pembangunan Manusia)
  8. Permainan O-TAMTO oleh Dr. Zamzana binti Zamzamir (Fakulti Sains dan Matematik)
  9. INTRAPeM oleh Dr. Intan Khasumarlina binti Mohd Khallid (Fakulti Seni, Kelestarian & Industri Kreatif)
  10. InoDiMoCap oleh Dr. Nur Syuhada binti Mat Sin(Fakulti Seni, Kelestarian & Industri Kreatif)
  11. PAVE oleh Dr. Hasrul Hosshan (Fakulti Pembangunan Manusia)
  12. MYALLERGEN: Shellfish Allergen Panel – A Solution to Shellfish Allergy Diagnosis oleh Prof. Dr. Rosmilah binti Misnan (Fakulti Sains dan Matematik)
  13. Aro-1A: Pioneering a Novel Environmental DNA (eDNA) Assay for Detecting Endemic Golden Arowana of Malaysia oleh Dr. Adibah Abu Bakar (Fakulti Sains dan Matematik)

Produk-produk berinovasi tinggi ini telah meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk pingat emas, perak serta anugerah khas di pertandingan inovasi ternama seperti Malaysia Technology Expo (MTE) dan International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX), menjadikan UPSI antara universiti paling aktif dan berjaya dalam bidang penyelidikan serta inovasi pendidikan.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, penglibatan UPSI dalam FOI Putrajaya 2025 membuktikan keupayaan universiti dalam menerajui transformasi ilmu dan teknologi pendidikan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat dan negara.

“Melalui pameran ini, UPSI bukan sekadar memperlihatkan kehebatan penyelidik dan hasil inovasi mereka, tetapi turut memainkan peranan penting sebagai pemacu ekosistem inovasi nasional. Ia menjadi platform strategik untuk memperkasa kolaborasi antara universiti, industri dan agensi kerajaan, seterusnya membuka laluan hasil penyelidikan UPSI di peringkat global,” ujar beliau.

Tambah beliau, pengiktirafan yang diterima penyelidik UPSI di pelbagai peringkat membuktikan universiti ini bukan sahaja melahirkan guru dan pendidik berkualiti, malah turut mencipta penemuan baharu dan inovasi berimpak tinggi yang menyumbang kepada kemajuan negara.

FOI Putrajaya 2025 menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pemain industri dari seluruh negara bagi memperkukuh budaya inovasi dan kolaborasi strategik. Kehadiran UPSI dengan barisan penyelidik-penyelidik yang cemerlang sekali lagi memperkukuh kedudukan universiti ini sebagai peneraju pendidikan dan inovasi bertaraf dunia.