Oleh: Nur Zalia, Mas Nuralysha dan Nur Azliyana
Tanjong Malim, 17 Oktober 2025 – Menjadi satu tradisi saban tahun setiap kali musim kemasukan pelajar, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menganjurkan program Titian Mesra berkonsepkan pertemuan dan sesi suai kenal antara penghuni blok, barisan felo kediaman serta ahli jawatankuasa blok bagi sidang 2025/2026.
Program ini dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej yang juga merupakan exco blok bagi Blok Aurellia (KHAR2) dan Blok Sakura (KHAR3).
Program Titian Mesra ini dijalankan dengan tujuan utama untuk memberi pendedahan kepada para penghuni mengenai aspek-aspek penting sepanjang tempoh mereka menetap di kolej.



Antaranya termasuk peraturan kediaman, kebajikan, kesihatan, keselamatan, kemudahan yang disediakan serta tatacara kehidupan berkomuniti yang harmoni.
Seramai lebih 200 orang penghuni telah hadir memeriahkan program ini yang diadakan di Dewan Kolej Harun Aminurrashid.
Kehadiran yang memberangsangkan ini jelas menunjukkan semangat kebersamaan dan keprihatinan para pelajar terhadap aktiviti komuniti kolej.
Felo Blok Aurellia, Puan Nurul Najwa dalam ucapannya menekankan kepentingan untuk setiap penghuni memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing sepanjang menetap di kolej.
Beliau turut menyeru agar para penghuni sentiasa menjaga kebersihan dan mematuhi peraturan demi keselesaan bersama.
Manakala Felo Blok Sakura, Puan Norrulkamari pula menasihati para penghuni kolej agar sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri masing-masing.
Beliau turut menggalakkan setiap rumah melaksanakan aktiviti kerohanian bagi mewujudkan suasana kediaman yang sejahtera dan harmoni.
Sementara itu, Pengarah Program Titian Mesra, Mursyliha Farisha bersama Pengarah Program Bersama, Ainul Atiqah turut memperkenalkan barisan Ahli Jawatankuasa Blok Kediaman masing-masing.
Setiap ahli jawatankuasa memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan para penghuni Blok Aurellia dan Blok Sakura sentiasa terpelihara.
Program seperti Titian Mesra ini menjadi platform penting dalam mewujudkan suasana komuniti kolej yang harmoni, berhemah serta saling menghormati.
Semoga usaha seperti ini terus dikekalkan bagi memastikan setiap generasi pelajar UPSI sentiasa bersedia, berdisiplin dan berdaya saing dalam dunia akademik serta kehidupan di kolej.
