Oleh: Nur Amirah Rohim
Teluk Batik, 24–26 Oktober 2025 – Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Islam Melalui Penghayatan Ibadah Solat dan Aqidah selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Oktober 2025 di Virgo Batik Resort, Teluk Batik, Perak.
Program ini menghimpunkan seramai 34 orang peserta daripada kalangan mahasiswa UPSI yang mewakili Persatuan Gagasan Islam dan Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) dengan objektif memperkukuh jati diri kepimpinan berasaskan ibadah dan aqidah.
Hari Pertama, Peserta berkumpul di Masjid Al-Mursyidin UPSI sebelum berangkat ke lokasi program. Selesai taklimat dan sesi suai kenal, peserta turut menghadiri Program PULARA KPT bersama YB Menteri Pendidikan Tinggi.



Pada Hari Kedua,sesi bermula dengan tazkirah subuh oleh wakil peserta, menghidupkan suasana rohani dan semangat ukhuwah dalam kalangan peserta.
Pengisian diteruskan dengan Slot Pengukuhan Ibadah dan Aqidah bersama Ustaz Khairul Naim bin Abd. Razak, yang menekankan keseimbangan antara ibadah dan tanggungjawab kepimpinan.
Seterusnya, Ustazah Bazliah mengendalikan slot penyediaan kertas kerja bagi melatih peserta merancang program berimpak tinggi berasaskan nilai Islam.



Sesi perbincangan kumpulan diadakan bagi membentangkan idea-idea kreatif yang dibincangkan oleh peserta.
Aktiviti riadah membina istana pasir dijalankan untuk memupuk kerjasama dan komunikasi dalam pasukan.
Hari diakhiri dengan jamuan BBQ dan Slot Pengukuhan Tauhid bersama Ustaz Azizi, yang memperkukuh kefahaman peserta tentang makna kebergantungan kepada Allah dalam setiap aspek kepimpinan.
Hari terakhir dimulakan dengan qiamullail dan tazkirah subuh oleh Ustaz Ali, diikuti pembentangan hasil perbincangan program sebagai latihan kepimpinan berasaskan pengalaman sebenar.
Kursus diakhiri dengan ucapan penutupan rasmi oleh Pengarah Pusat Islam UPSI, disusuli sesi bergambar kenangan bersama para peserta dan urus setia sebagai simbol kejayaan penganjuran program ini.
