Oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM, 17 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan lima inisiatif utama bagi memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus berasaskan ketelusan serta akauntabiliti dalam seluruh pentadbiran universiti.
Pengarah SPRM Perak, Datuk TPj Ahmad Sabri Mohamed, berkata UPSI tampil sebagai institusi yang menegakkan integriti melalui pendekatan pencegahan yang bersifat sistemik, melalui pelancaran Sistem Pengurusan Antirasuah MS ISO 37001:2025 (ABMS), Sistem My Audit Intrack (MyAIT), Sistem Isytihar Harta UPSI (E-Harta), Sistem Pengurusan Bahan Kimia UPSI (ChemAlert) dan Modul Intervensi Antigangguan Seksual UPSI.
“Usaha UPSI ini membuktikan bahawa integriti bukan slogan, tetapi langkah nyata yang dizahirkan melalui pelaksanaan sistem yang telus, berstruktur dan boleh diaudit,” ujar beliau
Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Pengasasan SITC-MPSI-IPSI-UPSI sempena Perhimpunan Bulanan Edisi November 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.



Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata lima inisiatif yang dilancarkan merupakan tonggak baharu dalam memastikan setiap urusan universiti dilaksanakan dengan ketelusan menyeluruh.
“Kita mahu UPSI menjadi universiti yang bukan sahaja cemerlang akademiknya, tetapi juga unggul dari sudut integriti dan tatakelola.
Mengulas pelaksanaan Sistem ABMS, beliau berkata sistem itu akan menjadi panduan rasmi universiti dalam meminimumkan risiko penyelewengan.
“ABMS merupakan kompas integriti UPSI. Ia memastikan setiap proses, keputusan dan perolehan dibuat secara bersih, berhemah dan berasaskan prinsip amanah.
UPSI turut memperkenalkan Sistem MyAIT bagi meningkatkan kecekapan audit dalaman melalui pemantauan lebih teratur dan berasaskan bukti.
“MyAIT membantu kita mengesan kelemahan dengan lebih cepat. Kita tidak menunggu masalah berlaku, tetapi bertindak sebelum ia timbul.
“E-Harta pula membawa dimensi baharu kepada budaya ketelusan. Pegawai universiti perlu memikul amanah, dan pengisytiharan harta adalah salah satu manifestasi integriti yang tidak boleh dikompromi.
UPSI turut melancarkan Sistem ChemAlert bagi memastikan pengurusan bahan kimia di makmal mematuhi standard antarabangsa, selain memperkenalkan Modul Intervensi Antigangguan Seksual UPSI bagi memperkukuh keselamatan warga kampus.
“Kita mahu kampus yang selamat, bermaruah dan bebas gangguan. Modul ini memastikan setiap laporan ditangani secara adil dan profesional,” katanya.
Program berkenaan turut menampilkan Forum Integriti “Dari Kampus Ke Negara: Integriti Perisai Jenayah Kewangan” yang membincangkan ancaman scam, pengubahan wang haram dan sindiket kewangan. Forum tersebut menampilkan Naib Canselor UNISIRAJ, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle, serta Ketua Pengarah NFCC, Datuk Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil.
Dalam pada itu, turut diadakan sambutan Hari Pengasasan SITC–MPSI–IPSI–UPSI, bagi memperingati warisan pendidikan lebih 100 tahun institusi itu.

