Oleh: Nur Mahirah Masu’ddi
Putrajaya, 7 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai Pavilion Pendidikan Fleksibel sempena Festival of Idea Putrajaya 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Penyertaan ini merupakan salah satu usaha UPSI dalam memperkukuh promosi pendekatan pembelajaran fleksibel serta memperluas kefahaman masyarakat mengenai laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APEL.Q) sebagai alternatif kemasukan ke program pengajian tinggi.
Reruai UPSI yang beroperasi dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari telah menerima kehadiran ramai pengunjung terdiri daripada golongan profesional, pelajar dewasa, serta individu bekerja yang berminat mendalami potensi pengakreditan pengalaman terdahulu. Wakil UPSI memberikan penerangan terperinci mengenai struktur penilaian APEL.Q, syarat kelayakan, proses permohonan serta program-program pengajian yang ditawarkan melalui laluan tersebut. Penerangan turut menekankan peranan APEL.Q sebagai mekanisme penting dalam menyokong agenda pendidikan sepanjang hayat serta memudahkan akses kepada pendidikan tinggi khususnya bagi individu berpengalaman.
Pavilion tersebut turut disertai oleh beberapa institusi pendidikan tinggi dan agensi latihan, termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Wawasan Open University (WOU), Politeknik Ungku Omar (PUO) serta Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Penyertaan INTAN menambah nilai kepada pameran melalui perkongsian berkaitan pembangunan kompetensi penjawat awam serta inisiatif pembelajaran berterusan dalam sektor perkhidmatan awam. Kesemua institusi mempamerkan inisiatif dan penawaran program berasaskan pembelajaran fleksibel masing-masing, memperlihatkan kesepaduan usaha dalam menggerakkan ekosistem pendidikan fleksibel negara.


Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) turut melengkapkan pameran dengan menyediakan maklumat komprehensif berkaitan sistem APEL, merangkumi APEL.A, APEL.C, APEL.Q dan APEL.M, selain menjawab pelbagai persoalan berkaitan dasar, penyetaraan serta jaminan kualiti.

Penyertaan UPSI dalam Pavilion Pendidikan Fleksibel sempena Festival of Idea Putrajaya 2025 berjaya mempamerkan komitmen universiti dalam mempromosikan laluan alternatif ke pendidikan tinggi melalui pendekatan yang lebih fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa. Inisiatif ini mengukuhkan peranan UPSI sebagai institusi peneraju dalam memperkasa pembelajaran sepanjang hayat, selaras dengan aspirasi negara untuk membangunkan masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
