Oleh: ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri

Putrajaya, 12 November 2025 – Pogram Sarjana Muda Perakaunan Dengan Kepujian, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) UPSI merupakan peserta akhir Kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif yang mana hanya empat sahaja peserta akhir bagi kesemua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di Malaysia untuk AKRI 2025.

Program diketuai oleh Dr. Anis Suriati binti Ahmad bersama ahli pasukan Prof. Madya Dr. Mohd Faizal bin Basri, Prof. Madya Dr. Noorlela binti Ahmad, Dr. Nooraisah binti Katmun @ Katmon, Dr. Mohd Danial Afiq bin Khamar Tazilah, Dr. Nor Hanani binti Ahamad Rapani, Dr. Nor Sa’adah binti Jamaluddi, Dr. Zuriadah binti Ismail dan Puan Norhaslina binti Mohammed Taharim.

Majlis penyampaian anugerah AKRI yang diadakan di Hotel Everly Putrajaya dihadiri oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi dan Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor UPSI.

Turut hadir semasa majlis ialah Dekan FPE, Prof Madya Dr Mohd Asri Mohd Noor, Pengarah Pusat Pembangunan Akademik (PPA), Prof. Madya Dr Normah Jusoh dan Timbalan Pengarah, e-pembelajaran dan transformasi akademik, PPA, ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri.

Ini merupakan pencapaian terbaik UPSI bagi Kategori Kurikulum Pengajian Inovatif selepas memperoleh pencapaian cemerlang dengan dua kemenangan daripada kategori berbeza di AKRI 2024. UPSI memperoleh Naib Johan dalam Kategori Pengajaran Transformatif melalui Dr. Hamidah binti Idris daripada Fakulti Sains dan Matematik menerusi inovasi “Unifying PSI: Learn-Create-Deliver for Educators” dan Tempat Ketiga Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun), AKRI telah dimenangi oleh Dr. Laili Farhana binti Md Ibharim daripada Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi melalui inovasi “GameBIZ Challenge: Pendekatan Inovatif Pembelajaran Berasaskan Cabaran untuk Keusahawanan Permainan”.

AKRI2025 menyaksikan enam kategori dipertandingkan iaiatu Kurikulum Program Pengajian Inovatif, Pengajaran Transformatif, Pentaksiran Alternatif, Pengalaman Pembelajaran Imersif (Maya), Pengalaman Pembelajaran Imersif Teradun (Blended) dan Pengalaman Pembelajaran Imersif Bersemuka.

Bagi Kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif, Pengajaran Transformatif, johan dinobatkan kepada program Sarjana Muda Sains Komputer (Media Interaktif) Dengan Kepujian daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan program Sarjana Sains Kejuruteraan Penggerudian daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP).