Oleh: Puan Adi Ratna Mohammed Nor
Tanjong Malim, 21 November 2025- Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan seramai 80 orang pelajar dan 8 orang guru pengiring dari SMK Seri Bedena, Sungai Besar, Selangor dalam satu sesi lawatan akademik yang berlangsung di Dewan Kuliah F, KSAJS.
Program dikendalikan oleh Cikgu Dr. Mohd Hisham Surgi dan mendapat sambutan hangat daripada pensyarah serta pegawai fakulti yang turut hadir.

Majlis turut menyaksikan penandatanganan dokumen jalinan kerjasama antara pihak sekolah, FSK dan Kolej Za’ba. Pihak sekolah diwakili oleh Tuan Azmi Sulaiman, Penolong Kanan Pentadbiran; FSK diwakili oleh Dr. Abu Zarrin Selamat, Timbalan Dekan HEPA FSK; manakala Kolej Za’ba diwakili oleh Afandi Mohamad, selaku Pegawai Tadbir Kolej Kediaman.
Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para pelajar mengenai bidang pengajian yang ditawarkan di UPSI, khususnya dalam kluster Sains Kemanusiaan. Sepanjang sesi, para pelajar diperkenalkan kepada struktur program, peluang kerjaya serta sumbangan fakulti dalam memperkukuh ilmu kemanusiaan di peringkat nasional.
Selain taklimat rasmi, para pelajar turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pensyarah dan melihat dengan lebih dekat suasana pembelajaran di UPSI. Pengalaman ini menjadi platform penting dalam memupuk minat serta meningkatkan motivasi pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.


Program dua hari ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk sukan boling, sesi riadah, lawatan ke Kolej Za’ba, Muzium Pendidikan Nasional UPSI dan Perpustakaan Tuanku Bainun. Keseluruhan program berlangsung dalam suasana yang mesra, bermanfaat dan bermakna kepada semua peserta.
FSK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SMK Seri Bedena atas minat dan kerjasama yang diberikan. Semoga lawatan ini menjadi pemangkin kepada aspirasi pelajar untuk membina masa depan pendidikan yang lebih cemerlang.
