Oleh: Ts. Dr. Zalina Ismail

Kuala Kurau, 25 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Jabatan Sains Pertanian, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) kolaborasi bersama Persatuan Mahasiswa Sains Pertanian (PERSSAP) telah melaksanakan Projek Santun Masyarakat (PSM), ‘Agroyouth @ Sekurau: Menyemai Ilmu, Menuai Inovasi’ bertempat di SMK Kuala Kurau, Perak di bawah kursus KPG3013 (Insan Guru Profesional).

Program anjuran pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Pengembangan Pertanian) dengan Pendidikan Semester 5 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini diselia oleh Ts. Dr. Zalina Ismail bersama Penasihat PERSSAP, Mior Muhammad Aiman Mior Muhammad Jamil melibatkan seramai 70 orang murid sebagai komuniti sasaran.

Program ‘Agroyouth @ Sekurau: Menyemai Ilmu, Menuai Inovasi’ yang bersifat Jelajah Ilmu ini bertujuan memupuk minat murid terhadap bidang pertanian moden dan inovasi agro selain memberikan pendedahan awal kepada murid mengenai potensi sektor pertanian sebagai bidang ilmu dan kerjaya masa depan.

Program ‘Agroyouth @ Sekurau: Menyemai Ilmu, Menuai Inovasi’  ini juga selaras dengan usaha sekolah untuk melahirkan pelajar yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing dalam pelbagai bidang termasuk agro inovasi, seterusnya menyokong agenda pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar melalui penglibatan aktif murid dalam aktiviti berasaskan pertanian hijau.

Program ini selari dengan aspirasi Pelan Strategik UPSI 2021–2025 khususnya dalam memperkasa Teras 2: Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi melalui aktiviti yang menggalakkan kreativiti dan idea baharu dalam bidang pertanian.

Program ini juga memenuhi Teras 3: Keunggulan graduan dengan memberi pendedahan kepada kemahiran pertanian moden yang meningkatkan kebolehpasaran pelajar. Selain itu, program ini memperkukuh Teras 5: Keutuhan Modal Insan dengan membentuk pelajar yang berdisiplin, bertanggungjawab dan berdaya saing. Pelaksanaan aktiviti berasaskan pertanian lestari turut menyokong Teras 6: Kelestarian Ekosistem melalui penerapan nilai cintakan alam dan amalan hijau dalam kalangan pelajar.

Program ‘Agroyouth @ Sekurau: Menyemai Ilmu, Menuai Inovasi’ memberi peluang kepada murid untuk mengaplikasikan ilmu pertanian moden amalan pertanian yang lestari dan mesra alam.

Melalui aktiviti yang dijalankan, murid didedahkan dengan wadah perkongsian ilmu, penerapan inovasi, dan pemupukan minat terhadap bidang pertanian moden yang  lestari melalui pelbagai aktiviti interaktif seperti demonstrasi semaian, pembuatan kompos, pengurusan tanaman dan kawalan perosak, peserta bukan sahaja dapat menimba ilmu  secara teori tetapi juga mengaplikasikannya secara praktikal.

Bagi pelajar UPSI pula, Program ‘Agroyouth @ Sekurau: Menyemai Ilmu, Menuai Inovasi’ ini bukan sekadar sebuah platform pembelajaran, tetapi juga satu usaha untuk memperkasa pengetahuan, kemahiran dan nilai inovasi dalam kalangan mahasiswa/i serta murid sekolah.

Pelaksanaan program ini dilihat dapat memberi manfaat secara berterusan melalui perkongsian ilmu pertanian moden, penerapan amalan lestari dan pembentukan jalinan kerjasama antara universiti dan komuniti.

Hasil pelaksanaan program dan mendapati berlaku peningkatan minat dan pemahaman murid terhadap mata pelajaran Pertanian melalui pendekatan praktikal yang dilihat berjaya membentuk murid menjadi kreatif, inovatif dan berfikiran kritikal dalam mengaplikasikan ilmu pertanian secara berkesan.

Program ini juga membuka perspektif baharu mengenai sektor agro sebagai bidang kerjaya yang berpotensi tinggi dan berdaya maju, seterusnya menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh pendidikan dan kesedaran agroinovasi.

Secara keseluruhannya, Projek Santun Masyarakat ‘Agroyouth @ Sekurau: Menyemai Ilmu, Menuai Inovasi’  ini telah berjaya melahirkan generasi muda yang berilmu, berinovatif, dan berjiwa keusahawanan dalam bidang pertanian, seiring dengan tema “Menyemai Ilmu, Menuai Inovasi” dan memperkukuhkan hubungan universiti dengan komuniti sekolah memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.