Oleh : Muhammad Nor Afzan Emran

Kampung Parakan, Indonesia, 4 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Bakrie Amanah (Lembaga Amil Zakat Nasional) Indonesia dan Universitas Garut (UNIGA) telah menganjurkan Program Merawat Harapan, Menguatkan Komunitas   kepada warga emas dan kanak-kanak di Kampung Parakan, Indonesia.

Program ini bertujuan membantu golongan memerlukan serta memperkukuh jaringan kerjasama kebajikan dua hala dalam aspek kemanusiaan, pendidikan dan pembangunan komuniti merentas negara.

Majlis penyerahan bantuan tersebut diserikan dengan ucapan pembukaan yang disampaikan oleh Bapak Kepala Desa Rahmat Hidayat yang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UPSI dan Bakrie Amanah atas keprihatinan terhadap kebajikan penduduk Kampung Parakan.

Seterusnya, Ibu Hajah Empat Fatimah turut menyifatkan program ini sebagai simbol kesatuan institusi pendidikan serantau dalam mengangkat agenda kemanusiaan dengan pengisian aksi kesihatan, edukasi dan kepedulian  masyarakat sekali gus membentuk sahsiah mahasiswa yang berjiwa sosial dan berempati.

Profesor Madya Dr. Mazuki selaku ketua delegasi UPSI dalam ucapannya menegaskan bahawa penglibatan mahasiswa dalam program sebegini merupakan usaha berterusan universiti dalam melahirkan graduan seimbang yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki jiwa empati, tanggungjawab sosial serta semangat kesukarelawanan yang tinggi.

“Mahasiswa dididik untuk memahami realiti kehidupan sebenar dan menyantuni masyarakat tanpa mengira sempadan,” katanya.

Pengarah Bakrie Amanah Zakat Indonesia pula menzahirkan rasa syukur atas kerjasama strategik bersama UPSI, sambil memaklumkan bahawa bantuan yang disalurkan adalah hasil amanah masyarakat yang diurus secara telus dan disampaikan kepada golongan benar-benar memerlukan.

Bantuan yang diagihkan merangkumi barangan keperluan asas, sumbangan makanan, kelengkapan harian serta bantuan kebajikan khusus kepada warga emas dan kanak-kanak. Penduduk Kampung Parakan melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh semua pihak terlibat.

Dari sudut mahasiswa pula, program ini memberi pendedahan langsung kepada realiti kehidupan masyarakat luar negara serta membentuk nilai empati, kepimpinan, kerja berpasukan, tanggungjawab sosial dan komunikasi antara budaya.

Dalam masa yang sama, UPSI turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ibu Hajah Empat Fatimah, Bapak Direktor Bakrie Amanah Bapak Istiadi Ihsan, Ibu Dekan Ibu Sifar, Kepala Desa Parakan Bapak Rahmat Hidayat, Pak Fajar serta seluruh jajaran pimpinan dan pengurusan UNIGA atas sambutan yang sangat mesra dan penuh kekeluargaan sepanjang program berlangsung.

UPSI berharap agar hubungan baik ini terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif kebajikan, mobiliti mahasiswa, pertukaran tenaga pengajar serta penyelidikan kolaboratif pada masa hadapan, sekali gus membuktikan bahawa institusi pendidikan mampu menjadi pemangkin kesejahteraan masyarakat serantau.