Oleh : Faiz, Fazilah dan Dzul
GARUT, 4 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi penganjuran Program Empowering Communities: Through Academic Partnerships UPSI X UNIGA 2025 bersama Universitas Garut (UNIGA) pada 3 hingga 4 Disember 2025 di Garut, Indonesia.
Program ini menjadi platform strategik pemindahan ilmu dan pemerkasaan daya tahan serantau, khususnya dalam aspek pengurusan bencana, pembangunan akademik serta kepimpinan mahasiswa melibatkan kedua-dua institusi.



Pada sebelah pagi, slot kuliah tamu telah berlangsung secara serentak di lokasi berbeza. Antara yang menjadi tumpuan ialah kuliah Profesor Dr. Mazuki bin Mohd Yasim, Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UPSI, yang menyampaikan wacana bertajuk “From Tragedy to Hope: Crisis Management of Disaster in Malaysia”.
Beliau menghuraikan bahawa sistem pengurusan bencana Malaysia yang dikoordinasikan oleh NADMA adalah berpaksikan empat fasa utama iaitu pendidikan, tadbir urus, pelaburan dan kesiapsiagaan.
Dr. Mazuki turut menekankan penggunaan teknologi terkini seperti dron pengawasan dan sistem GIS dalam operasi waktu nyata, selain menyeru pengukuhan koordinasi antara agensi serta peningkatan daya tahan kolektif masyarakat.



Pada masa yang sama, satu lagi slot ilmiah turut berlangsung di bilik kuliah bersebelahan yang menampilkan Dr. Entsar Nuari, M.Si. dari Fakulti Matematik dan Sains Alam (FMIPA), UNIGA dengan fokus kepada pengurusan bekalan farmasi semasa bencana.
Berlatarkan kedudukan Garut yang terdedah kepada ancaman gunung berapi, beliau membentangkan analisis insiden bencana dari tahun 2015 hingga 2022.
Dr. Entsar menegaskan bahawa risiko kerugian besar dapat dikurangkan melalui persiapan kendiri, sokongan rangkaian sosial serta pengurusan logistik farmasi yang diselaraskan secara ketat berlandaskan Keputusan Menteri Kesihatan (KEPMENKES) Indonesia bagi memastikan pengagihan ubatan tepat sasaran dan mengelakkan pembaziran.
Seterusnya , satu sesi pengenalan promosi UPSI turut dikendalikan oleh En. Anizan Md Noor selaku wakil dari Pusat Alumni yang membentangkan sejarah universiti, fakulti, program pengajian, fasiliti, inisiatif kebajikan serta peluang keusahawanan pelajar melalui inisiatif EDGE.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen UPSI sebagai pusat penyelidikan pendidikan dan pengurusan pelajar antarabangsa melalui tujuh inisiatif utama, di samping mengangkat identiti UPSI sebagai Mualim, iaitu bumi ilmu yang menjadi mercu tanda pendidikan di Tanjung Malim dan Malaysia.
Slot ini turut membuka ruang memperkukuh hubungan dua hala serta peluang mobiliti pelajar ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.


Sebelah petang pula menyaksikan penglibatan aktif mahasiswa melalui penganjuran sesi “CHIT CHAT MAHASISWA UPSI X UNIGA” di Mini Auditorium, Kampus 4 UNIGA.
Wakil mahasiswa UPSI, Afzan, menyampaikan ucapan pembukaan dan menyatakan hasrat agar platform tersebut dapat mempererat hubungan organisasi mahasiswa kedua-dua universiti.
Sesi ice breaking, perbincangan berkumpulan serta pembentangan idea berjaya mewujudkan suasana interaktif dan proaktif.
Program diakhiri dengan harapan agar kerjasama mahasiswa UPSI dan UNIGA dapat diteruskan secara berkala demi melahirkan generasi mahasiswa yang berinovasi serta berdaya saing dalam menyumbang kepada masyarakat.
