oleh Arissa Hasya Auni
Tanjung Malim, 9 Disember 2025 – Pejabat Karang Mengarang (PKM) menganjurkan Hari Terbuka 2025/2026 bermula hari ini di Kedai Buku PKM dan Perkarangan Pejabat PKM.
Menurut Penyelaras Program Hari Terbuka PKM yang juga Timbalan Pendaftar Kanan, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain, lebih 900 orang pengunjung hadir ke program hari pertama yang mula berlangsung dari jam 8 pagi sehingga jam 5 petang.
”Jumlah pengunjung yang hadir didorong oleh faktor cuaca yang sangat baik sepanjang hari ini selain tarikan yang ditonjolkan PKM melalui pendekatan ”Moh Ke Kedai Buku” yang mengajak orang ramai khasnya warga UPSI hadir untuk melihat satu kelainan penganjuran majlis” kata Ahmad yang menjadi nadi utama sebagai juruacara atau deejay sepanjang program.



Ini merupakan program yang julung julung kalinya diadakan oleh PKM sejak penubuhannya pada tahun 2001. Pendekatan ”Moh Ke Kedai Buku” mengajak orang ramai mengunjungi Kedai Buku UPSI secara ”’rumah terbuka” dengan membuka pintu seluas-luasnya untuk menjelajah kedai buku seterusnya membuat pembelian.
Pembantu Tadbir (P/O) PKM, Zaharuddin Hamzah dan Muhammad Shahrul Mizan Mohamed Nizam yang bertugas di Kedai Buku UPSI berkata jualan pada hari ini sangat memberangsangkan berbanding ketika hari biasa.
”Selama ini, warga UPSI khasnya tidak berkesempatan hadir ke kedai buku untuk melihat sendiri buku-buku yang dijual. Tetapi dengan adanya Hari Terbuka PKM ini, ia membuka ruang yang luas untuk mereka masuk dan mengenali Kedai Buku UPSI” kata Zaharuddin dari Seksyen Pemasaran dan Jualan.


Selain aktiviti mengunjungi Kedai Buku UPSI, program Hari Terbuka menghargai pelanggan mereka dengan membuka Kaunter Bersama Pelanggan yang terdiri daripada Seksyen Jurnal, Seksyen Penerbitan Buku dan Seksyen Pentadbiran dan Kewangan.
Sesi bertemu pelanggan dilihat berlangsung dalam suasana yang mesra dengan sesi interaksi berkaitan buku dan jurnal selain aktiviti mengeratkan hubungan antara pelanggan dan PKM menerusi aktiviti permainan seperti ”Teka Jumlah Buku dalam Kotak”, ”Teka Harga Buku”, ”Teka Berat Buku”, ”Bermain Bola Ping Pong dengan Gelas”, ”Mencantumkan Puzzel”, ”Roda Impian” dan ”Aktiviti Boling Kelapa”.
Sesi yang sangat dinantikan oleh pengunjung tentunya Sesi Cabutan bertuah yang diadakan pada jam 12.00 tengah hari dan jam 4 petang. Seramai 11 orang pengunjung bertuah menerima hadiah daripada penganjur. Sesi Kuiz juga berlangsung dengan 10 soalan diberikan kepada pengunjung yang hadir dan mereka diberikan cenderamata istimewa di atas penglibatan mereka.
Rata-rata pengunjung yang hadir sangat gembira kerana membawa pulang ”goodies” dan cenderamata istimewa disediakan PKM. Mereka juga mengambil kesempatan untuk bergambar di ruang bergambar yang menarik di sekitar tapak Hari Terbuka.
Menurut Pembantu Tadbir (P/O) PKM, Nor Azura Mustafa Bakri, Program Hari Terbuka PKM ini melonjakkan jumlah pengikut Tik Tok PKM.
”Esok kasi gegar follower Tik Tok Penerbit UPSI. Hari ini saja sudah naikkan follower kita” kata Azura ketika ditemu bual.
Ketua AJK Gerai yang juga Penolong Akauntan PKM, Shahril Sazib pula berkata, Hari Terbuka PKM ini menampilkan lebih 27 gerai dengan pelbagai jualan bagi memberi pilihan kepada pengunjung memilih menu dan juadah yang mereka gemari.
”Semua jualan gerai berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan hangat pengunjung. Antara gerai yang menutup awal jualan ialah gerai strawberi yang kehabisan stok buah strawberi” kata Shahril.


Setiausaha Program yang juga Pembantu Tadbir (P/O) PKM, Siti Hasinah ASM Nagoor Gany berkata program hari kedua lebih menarik dengan aktiviti Rabu@Qalbu Porfolio Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) pada sebelah pagi manakala pada petangnya akan diadakan Program CSR PKM Bersama Sekolah yang melibatkan Sesi Penyampaian Buku.
Pada akhir perbualan, Penyelaras Program Hari Terbuka PKM, Ahmad Janatul Firdaus berkata program esok akan dihadiri oleh Pengarah PKM, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah dan juga Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan), Dr Laili Farhana Md Ibharim.
”Pada hari ini kedua mereka berada di Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menerima Anugerah MAPIM-KPT apabila UPSI menerima empat anugerah sempena majlis tersebut” kata Ahmad.

