Family Lots of Love Fun WalkFamily Lots of Love Fun Walk

Oleh: Jamilah Mohd Basir 

Tanjong Malim, 10 Disember 2025 — Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  menganjurkan sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat universiti tahun 2025. Sambutan ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif dalam meraikan kanak-kanak sambil menggalakkan kreativiti, kerjasama dan semangat kesukanan.

Program sambutan kali ini menawarkan pelbagai acara riadah dan kesenian termasuk WINN Innovation 2025, Family Lots of Love Fun Walk, Kiddies Carnival, Persembahan Muazin Junior, pertandingan Bakat Ceria serta pertandingan Irama. Kesemua aktiviti ini bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak menunjukkan bakat, berinovasi serta berinteraksi dalam suasana ceria.

Majlis diserikan dengan kehadiran Dr. Nadia Shahira Amiruddin (Timbalan Pengarah Akademik dan Perkembangan Kanak-Kanak) NCDRC, Dr. Jamilah Mohd Basir (Penyelaras Penerbitan dan Jaringan) NCDRC serta Dr. Hanani Mat Zain (Penyelaras Sistem Data dan Teknologi Maklumat) NCDRC, bagi memberi sokongan moral dan penghargaan kepada semua peserta serta menjayakan objektif program.

Pertandingan Muazin Junior
Pertandingan Bakat Ceria
Kanak-Kanak hadir sambutan hari kanak-kanak

Dr. Nadia turut menyatakan, program pada hari ini merupakan masa berkualiti yang sangat bermakna untuk ibu bapa dan anak-anak meluang masa bersama, sekali gus mengukuhkan hubungan kekeluargaan. 

Dengan pelbagai aktiviti yang dirancang, sambutan Hari Kanak-Kanak UPSI 2025 bukan sekadar hari hiburan tetapi sebuah inisiatif penting bagi memupuk perkembangan holistik kanak-kanak yang merangkumi aspek fizikal, kreativiti, budaya dan sosial. Diharapkan program ini menjadi platform tahun demi tahun untuk menyemarakkan semangat kebersamaan, mengenal bakat, dan memperkukuh hubungan antara keluarga, pelajar dan komuniti UPSI.