Oleh: Subulana Rusman
Ipoh, Perak, 9 Disember 2025 – Para pelajar kursus Reka Bentuk Industri VDC3063 dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini mengadakan lawatan industri bagi menimba pendedahan berkaitan pengeluaran perabot berskala besar. Lawatan tersebut bertujuan memperkenalkan pelajar kepada proses reka bentuk serta pengeluaran produk perabot yang mengaplikasikan teknologi moden dan amalan terbaik industri, selari dengan keperluan Industri 4.0.
Lawatan yang diketuai oleh penyelaras kursus, Ir. Dr. Azizul Qayyum Basri, telah membawa pelajar ke TD Furniture Square Sdn. Bhd. yang terletak di Taman Silibin, di sini. Syarikat berkenaan merupakan antara pengeluar perabot terkemuka negara yang memfokuskan penghasilan produk berkualiti tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa.


Para pelajar turut diberi peluang mengikuti sesi taklimat yang disampaikan oleh pihak pengurusan syarikat berkaitan latar belakang penubuhan, visi dan misi syarikat dalam industri perabot, serta perkembangan teknologi yang digunakan dalam proses pengeluaran. Seterusnya, para pelajar dibawa melawat kawasan kilang bagi menyaksikan secara langsung setiap peringkat pengeluaran, bermula daripada proses reka bentuk menggunakan perisian Computer-Aided Design (CAD) sehingga ke peringkat pengeluaran dan kawalan kualiti produk.
Sepanjang lawatan tersebut, para pelajar dapat melihat penggunaan teknologi automasi dan mesin berteknologi tinggi yang berperanan meningkatkan kecekapan serta ketepatan dalam proses pembuatan perabot. Pihak syarikat turut berkongsi pelbagai pendekatan dan teknik inovatif bagi memastikan setiap produk yang dihasilkan memenuhi piawaian kualiti serta kehendak pasaran semasa.
Menurut salah seorang pelajar yang menyertai lawatan tersebut, Subulana Rusman, pengalaman menyaksikan sendiri proses reka bentuk dan pengeluaran perabot menggunakan teknologi moden memberikan perspektif baharu terhadap dunia industri. Katanya, pendedahan tersebut bukan sahaja melengkapi pembelajaran teori di dalam bilik kuliah, malah membantu pelajar memahami cabaran sebenar dalam pengeluaran produk berskala besar.
Dalam sesi soal jawab yang diadakan, para pelajar turut didedahkan kepada pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pengeluar perabot, antaranya pengurusan kos pengeluaran, pemilihan bahan mentah berkualiti serta usaha mengekalkan kesetiaan pelanggan. Selain itu, persaingan pasaran yang sengit serta isu logistik dan penghantaran produk turut dikenal pasti sebagai cabaran utama industri. Sehubungan itu, pihak syarikat menekankan kepentingan inovasi dan keupayaan menyesuaikan teknologi bagi memastikan kelangsungan dan daya saing produk.
Secara keseluruhannya, lawatan industri ke TD Furniture Square Sdn. Bhd. ini memberikan pendedahan yang amat bermakna kepada para pelajar kursus Reka Bentuk Industri. Selain menimba pengetahuan teknikal berkaitan pengeluaran perabot, para pelajar turut memahami kepentingan aspek reka bentuk, pengurusan kualiti dan aplikasi teknologi dalam menghasilkan produk berskala besar yang berdaya saing.
Melalui lawatan ini, para pelajar dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah diterjemahkan kepada amalan industri sebenar, sekali gus membantu mereka memahami realiti serta tuntutan pasaran dalam sektor pembuatan.
Bagi lawatan akan datang, dicadangkan agar pelajar didedahkan kepada syarikat-syarikat yang mengaplikasikan teknologi automasi sepenuhnya dalam proses pengeluaran. Selain itu, penganjuran sesi interaktif bersama pengurus dan jurutera industri turut dicadangkan bagi memberikan pendedahan yang lebih mendalam berkaitan aspek teknikal serta keperluan sebenar dunia industri.

Pihak penganjur merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pensyarah kursus, Ir. Dr. Azizul Qayyum Basri, serta Fakulti Teknikal dan Vokasional atas sokongan berterusan dalam menyediakan wadah pembelajaran berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Penghargaan turut dizahirkan kepada Mr. Wong, Pengarah Urusan TD Furniture Square Sdn. Bhd. atas kesudian menerima lawatan serta berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan alam pekerjaan.
