Tanjung Malim — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sentiasa komited dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berdaya fikir kritis serta berani menyuarakan pandangan.

Seiring dengan aspirasi tersebut, program Jejak Waghih telah diperkenalkan sebagai sebuah platform yang memberi ruang kepada mahasiswa untuk melontarkan idea, pandangan serta isu-isu yang ingin disuarakan yang berkaitan dengan pendidikan, masyarakat dan pembangunan insan yang berlangsung pada 12 Disember 2025 lalu.

Program Jejak Waghih membawa maksud perjalanan suara iaitu satu usaha untuk menjejak pemikiran dan harapan mahasiswa sebagai generasi pelapis negara.

Melalui sesi perbincangan, dialog terbuka dan perkongsian idea kepada mahasiswa UPSI dilaksanakan untuk memberi peluan kepada mereka menyampaikan pandangan secara matang dan berhemah dalam suasana yang kondusif dan selamat.

Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada Yayasan Negeri Sembilan, yang berperanan dalam memperkasa pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan mahasiswa anak jati Negeri Sembilan di institusi pengajian tinggi.

Penglibatan Yayasan Negeri Sembilan dalam Jejak Waghih membuktikan komitmen berterusan pihak yayasan dalam menyokong usaha pembinaan kepimpinan, pemikiran kritis serta kebajikan mahasiswa anak Negeri Sembilan.

Melalui kolaborasi ini, Jejak Waghih bukan sekadar menjadi medium lontaran suara, tetapi sebagai jambatan yang menghubungkan mahasiswa dengan pihak berkepentingan, termasuklah institusi, yayasan dan masyarakat.

Idea serta pandangan yang dikongsikan berpotensi menjadi input bermakna dalam penambahbaikan dasar, program dan inisiatif berkaitan pendidikan serta pembangunan belia.

Secara keseluruhannya, Jejak Waghih mencerminkan usaha kolektif UPSI dan Yayasan Negeri Sembilan dalam mewujudkan sebuah ekosistem mahasiswa yang berani membawa ideologi serta berfikiran kritis untuk menyumbang kepada masyarakat.

Program ini diharap dapat diteruskan sebagai wadah pembentukan mahasiswa yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga peka, bertanggungjawab dan berdaya saing pada masa hadapan.