AYER KEROH, 29 Januari 2026 – Buku Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu terbitan Penerbit UPSI sekali lagi menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila berjaya memenangi Anugerah Khas ASEAN International Book Award (AIBA) Kategori Buku Sastera Terbaik, di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka.
Majlis berprestij itu telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang Di-Pertua Negeri Melaka, dan dihadiri oleh tokoh akademik, penulis, rakan strategik serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.
Pengarah Pejabat Karang Mengarang (PKM), Prof. Madya Dr. Nordiana Hamzah, berkata pengiktirafan terhadap buku tersebut membuktikan keupayaan penerbitan universiti dalam mengangkat karya ilmiah sastera dan pemikiran Melayu ke peringkat global, sekali gus mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai institusi yang semakin mendapat perhatian di persada antarabangsa.
“Pengiktirafan terhadap buku Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu menunjukkan bahawa penerbitan ilmiah berteraskan sastera dan pemikiran Melayu masih relevan, kritikal dan berdaya saing dalam membentuk wacana intelektual negara,” katanya.
Beliau menambah bahawa kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat antara penulis, editor dan pasukan penerbitan PKM dalam memastikan kualiti dan mutu kandungan, penyuntingan, pembacaan pruf serta persembahan buku memenuhi piawaian akademik terkini.
Sementara itu, penulis buku berkenaan, Prof. Dr. Azhar Wahid, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu penghargaan terhadap usaha memperkukuh pemikiran Melayu melalui analisis sastera yang kritis dan berteraskan tradisi ilmu tempatan.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar kejayaan sebuah buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha mengangkat sastera Melayu sebagai medan wacana pemikiran yang berakar pada budaya sendiri dan mampu berdialog dengan dunia,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Editor PKM, En. Azlan MD, yang bertanggungjawab menyelia aspek editorial dan memastikan kualiti penerbitan buku Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu selaras dengan standard penerbitan ilmiah universiti.


Atur cara majlis dimulakan dengan ketibaan tetamu kehormat, diikuti nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Melaka Jaya, bacaan doa serta ucapan alu-aluan oleh YBhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff bin Abu Bakar, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penganjuran.
Kemuncak majlis menyaksikan penganugerahan buku tersebut oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia, diikuti penyerahan sijil penghargaan kepada rakan strategik dan ahli gabungan NGO Malaysia.
Pengiktirafan ini sekali gus mengukuhkan peranan Penerbit UPSI sebagai penerbit universiti yang komited dalam memperkasa penerbitan ilmu, khususnya dalam bidang sastera, budaya dan pemikiran Melayu.

