Oleh: Noor Wahida Md Junus, Nor Hafizah Md Hussin, Nor Suriya Abd Karim, Nur Hamiza Adenan, Rawdah Adawiyah Tarmizi.
TANJONG MALIM, 19 Januari 2026 – Kolokium Projek Tahun Akhir anjuran Jabatan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Bilik Kuliah Blok 2 Aras 1 dan Bilik Seminar Matematik, melibatkan penyertaan seramai 190 orang pelajar.
Kolokium yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang ini menjadi platform utama untuk pelajar mempamer dan membentangkan hasil projek tahun akhir melalui pameran ilmiah, pembentangan dapatan kajian, serta sesi soal jawab bersama panel penilai, sekali gus memperkukuh kemahiran komunikasi akademik dan penyampaian profesional.



Program dimulakan dengan pendaftaran peserta dan persediaan pameran seawal jam 8.00 pagi. Sesi penjurian rasmi pula bermula pada jam 9.00 pagi, melibatkan pelajar daripada program Sarjana Muda Pendidikan Matematik (AT14) dan Sarjana Muda Sains Matematik dengan Pendidikan (AT48).
Penganjuran kali ini memperlihatkan keupayaan pelajar bukan sahaja dalam menghasilkan laporan penyelidikan yang terancang, malah mampu menjelaskan kaedah, dapatan dan implikasi projek dengan yakin kepada audiens.



Keistimewaan kolokium ini turut diserlahkan melalui penglibatan panel juri jemputan daripada pelbagai institusi dan agensi luar antaranya Universiti Teknologi MARA, Universiti Sultan Azlan Shah, Institut Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi, Pejabat Pendidikan Daerah, guru-guru sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia dan guru-guru sekolah antarabangsa dan swasta, serta wakil pelajar pasca siswazah.
Kepelbagaian latar belakang juri ini memberi nilai tambah dalam memastikan penilaian yang lebih menyeluruh dan berfokus kepada kebolehgunaan dapatan projek dalam konteks pendidikan semasa.


Kemuncak program diserikan dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah, termasuk pengiktirafan seperti Penyelidik Terbaik dan kategori-kategori penghargaan lain yang bertujuan menyuntik motivasi serta menggalakkan budaya penyelidikan dalam kalangan pelajar.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Professor Dr. Mohd. Faizal Nizam Lee bin Abdullah yang turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, panel juri serta pelajar atas komitmen dan profesionalisme sepanjang program berlangsung.
“Pihak fakulti sangat menyokong perlaksanaan program seperti ini. Hal ini kerana, kolokium seperti ini mampu berperanan sebagai latihan awal untuk pelajar menghadapi dunia kerjaya serta persekitaran akademik yang lebih mencabar.
Selain itu kebolehan pelajar untuk menyampaikan idea secara tersusun dan meyakinkan merupakan kemahiran yang sangat penting, terutama dalam melahirkan graduan UPSI yang berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri” ujar Professor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee bin Abdullah.
Salah seorang panel juri jemputan, Dr. Nor Aslily binti Sarkam turut menyatakan bahawa tahap pembentangan dan dokumentasi projek pelajar adalah memberangsangkan, selain memperlihatkan peningkatan dari aspek ketepatan metodologi, kekuatan hujah, kreativiti bahan pameran dan kesediaan pelajar mempertahankan dapatan kajian melalui sesi soal jawab.
Menurut beliau, kualiti persembahan yang ditonjolkan membuktikan pelajar UPSI mampu menghasilkan projek yang berpotensi dikembangkan sebagai inovasi pendidikan dan penyelidikan lanjutan.
Secara keseluruhan, Kolokium Projek Tahun Akhir Jabatan Matematik UPSI bagi sesi akademik 1 2025/2026 telah berjaya mencapai objektif penganjuran dalam memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi, dan profesionalisme pembentangan dalam kalangan pelajar.
Program ini juga dilihat sebagai wadah strategik untuk mempererat jaringan kolaborasi antara UPSI dan institusi luar demi memperkasa ekosistem akademik yang lebih dinamik dan berimpak.

