Oleh: Khairin Karmila dan Norrulkamari Daud

Tanjong Malim, 7 Mac 2026 – Nuzul Al-Quran : Keberkatan Bulan Ramadan merupakan program perkongsian ilmu anjuran Exco Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah di bawah Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) sidang 2025/2026, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) sempena Karnival Ramadan FPM 2026.

Program yang berlangsung dalam suasana penuh penghayatan dan kerohanian ini bertujuan meningkatkan kefahaman siswa/i tentang peristiwa turunnya Al-Quran serta mengajak warga kampus untuk menghayati keberkatan bulan Ramadan dengan lebih mendalam.

Program Nuzul Al-Quran yang telah dianjurkan ini telah berjaya dijalankan menerusi platform atas talian iaitu medium Google Meet.

Pelaksanaan program Nuzul Al-Quran ini adalah salah satu platform yang menjadi medium interaktif yang memotivasikan melalui pendedahan kepada semua mahasiswa/i tentang peristiwa turunnya Al-quran pada bulan Ramadan.

Meskipun program nuzul Al-quran ini dijalankan secara dalam talian, namun program ini mampu menarik seramai 150 orang peserta termasuk mahasiswa/i universiti luar dan mahasiswa/i UPSI bersama seorang jemputan panel khas daripada program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik, iaitu Muhammad Nor Afzan bin Emran.

Beliau merupakan Exco eksekutif Pendidikan Benevolent malaysia dan juga merupakan mantan Yang Dipertua Kelab Sahabat Ulul Albab sidang 2024/2025. Perkongsian beliau sebagai panel yang disegani bersama moderator iaitu saudari Soufiya Hanna berkongsi mengenai keistimewaan Ramadan serta kepentingan menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.

Melalui perkongsian beliau ada menyatakan tentang bagaimana peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi titik permulaan turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad SAW sebagai petunjuk kepada seluruh umat manusia.

Program Nuzul Al-Quran ini dirasmikan dengan jayanya oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FPM, UPSI. Selain itu Penasihat persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Puan Norrulakamari Daud juga turut meriahkan program di samping kehadiran yang baik juga daripada kakitangan FPM.

Sepanjang sesi perkongsian ilmu, para peserta turut diingatkan bahawa jangan malu untuk belajar Al-Quran dan tidak ada perkataan lewat untuk belajar Al-Quran dan teruskan belajar supaya suatu hari nanti ia akan menjadi satu asbab untuk kita masuk ke syurga. Panel juga turut menegaskan bahawa mahasiswa/i sebagai golongan berilmu mempunyai tanggungjawab untuk mengamalkan nilai-nilai yang terkandung dalam Al-Quran dalam kehidupan seharian bukan sekadar membaca sahaja.

Program ini mendapat sambutan yang baik daripada para pelajar yang hadir bagi memanfaatkan peluang menimba ilmu dan memperkukuh penghayatan rohani sepanjang bulan yang mulia ini.

Penganjuran perkongsian ilmu ini juga selari dengan usaha pihak fakulti dalam melahirkan mahasiswa/i yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah turut seimbang dari aspek kerohanian dan sahsiah diri. Melalui program seperti ini, diharapkan para pelajar dapat mengambil peluang untuk bermuhasabah diri serta meningkatkan amalan sepanjang bulan Ramadan.

Program berakhir dengan sesi fotografi selepas tamatnya perkongsian dan sesi soal jawab  antara panel dan para peserta yang hadir. Tahniah diucapkan kepada semua yang bersama-sama menjayakan program Nuzul Al-Quran ini khususnya barisan ahli jawatankuasa pelaksana program.

Semoga perlaksanaan program keilmuan mengenai kerjaya seperti ini mampu membantu pelajar memahami keistimewaan Al-Quran serta bulan Ramadan yang mulia ini.