Oleh: Nor Humaira Muhamed Aman Amir & Natasia Low Ai Yun

Rawang, Selangor,16 Disember 2024– Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Permor Retreat: Building Tomorrow’s Leadership bertempat di Templer Park Rainforest Retreat, Rawang, Selangor. Program dua hari ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dalam kalangan ahli PERMOR serta memberi peluang kepada ahli untuk berkenalan dengan lebih dekat bersama Penasihat Baharu Persatuan Pendidikan Moral bagi Sidang 2024/2025, Nurul Nadia Ibrahim yang juga Pensyarah Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter.

Objektif utama program ini adalah untuk melahirkan pemimpin dalam kalangan Majlis Tertinggi, Exco, Rakan Exco, dan Wakil Sem yang beretika serta berintegriti. Pemimpin yang dilahirkan bukan sahaja mampu menyumbang kepada persatuan, tetapi juga kepada UPSI pada masa akan datang. Program ini diharapkan dapat membentuk personaliti kepimpinan tinggi yang berpotensi menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.

Program ini bukanlah sekadar aktiviti santai atau percutian semata-mata. Sebaliknya, ia bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan ukhuwah antara Barisan Kepimpinan Persatuan, termasuk Penasihat Persatuan Baharu sidang 24/25, untuk memastikan komunikasi yang lebih baik dalam pelaksanaan program dan aktiviti. Seperti pepatah Melayu “sambil menyelam minum air”, program ini dirangka dengan bijak untuk mencapai objektif kepimpinan sambil memberi ruang kepada peserta melepaskan tekanan akademik.

Pengarah program, Natasia Low Ai Yun yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua Persatuan PERMOR, menyatakan bahawa pemilihan lokasi di Templer Park Rainforest Retreat adalah langkah strategik untuk memastikan semua peserta dapat menikmati suasana yang tenang dan damai di samping mengikuti aktiviti program. Menurut saudari, kawasan ini bukan sahaja memberikan ketenangan minda tetapi turut membantu peserta mengurangkan tekanan belajar, sekali gus meningkatkan fokus dan produktiviti dalam program yang dijalankan.

Yang Dipertua PERMOR, Beron Justin turut menzahirkan harapan agar program ini bukan sahaja berjaya mencapai sasaran untuk membentuk hubungan yang lebih erat dan kepimpinan berintegriti dalam kalangan Majlis Tertinggi, Exco, Rakan Exco dan Wakil Sem, tetapi juga membuka peluang untuk penganjuran program serupa pada masa akan datang. “Kejayaan program ini menjadi langkah awal untuk memperluaskan penyertaan kepada semua ahli Persatuan Pendidikan Moral. Ini bukan sahaja akan membantu membentuk pemimpin yang berwibawa tetapi juga mewujudkan suasana persatuan yang lebih inklusif,” katanya.

Dengan aktiviti yang menggabungkan elemen kepimpinan dan kerja berpasukan, Permor Retreat berjaya memberikan impak positif kepada peserta. Peserta bukan sahaja pulang dengan semangat baharu untuk terus berkhidmat dalam persatuan, tetapi juga dengan pengalaman bermakna yang dapat membentuk personaliti kepimpinan mereka. Program ini diharapkan akan menjadi pencetus kepada inisiatif-inisiatif lain yang lebih meluas dan bermanfaat dalam membangunkan generasi pemimpin masa hadapan, sejajar dengan matlamat Persatuan Pendidikan Moral dan aspirasi UPSI.

Program ini jelas membuktikan bahawa sifat kepimpinan yang tinggi dan nilai integriti masih kembang mekar dalam kalangan generasi muda. Semangat yang ditonjolkan oleh para peserta sepanjang program ini amat membanggakan dan wajar dipuji, kerana ia menjadi tanda bahawa generasi muda hari ini masih bersemangat untuk menjadi pemimpin yang berwibawa dan berkaliber.  Dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan, Persatuan Pendidikan Moral yakin akan terus melahirkan pemimpin muda yang berkualiti dan berintegriti.

#fakultisainskemanusiaan
#fsk
#PERMOR
#MoralPelengkapModalInsan