Oleh: Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain  

Tanjong Malim, 30 Disember 2024- Alam semula jadi dan kanak-kanak sememangnya tidak dapat dipisahkan. Aktiviti yang berteraskan eksplorasi alam seperti aktiviti di luar kelas bukan sahaja mampu menanamkan rasa cinta kepada alam sekitar, malah melatih si cilik untuk menjadi pencinta alam yang lebih prihatin. Kanak-kanak turut berpeluang belajar menghargai serta menyayangi flora dan fauna yang menjadi pelengkap keindahan persekitaran mereka.

Meneroka dunia pertanian dan alam sekitar merupakan salah satu kaedah pembelajaran berkesan kerana ia melibatkan pengalaman langsung yang merangsang kelima-lima deria utama iaitu penglihatan, sentuhan, rasa, bau dan pendengaran. Teknik pengajaran multisensori ini terbukti mampu meningkatkan daya sensori kanak-kanak, memberikan impak yang besar terhadap pertumbuhan mereka, serta menyumbang kepada kestabilan emosi si cilik. Aktiviti seperti ini turut membantu dalam menekankan setiap aspek perkembangan kanak-kanak secara holistik.

Sebagai sebahagian daripada pembelajaran berpusatkan alam dan pertanian, pelajar kursus Asas Reka Bentuk Landskap dari Fakukti Teknikal dan Vokasional (FTV) dan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) mengambil inisiatif memperkenalkan pengalaman menanam pokok bunga matahari kepada lebih 20 kanak-kanak. Aktiviti ini berlangsung di ladang bunga matahari, Unit Hortikultur, FTV, Kota Malim Prima pada 26 Disember dan 30 Disember lalu.

Dalam program ini, kanak-kanak tidak hanya berpeluang menanam pokok bunga matahari, tetapi juga diberi pengalaman menyemai biji benih dan memahami proses penyemaian secara pembelajaran melalui aktiviti praktikal. Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Pertanian FTV menyatakan bahawa lawatan seperti ini sangat dialu-alukan kerana ia mampu memberikan pengalaman bermakna kepada pengunjung selain dapat mempelajari teknik penjagaan bunga matahari secara praktikal.

“Untuk program ini, kita melibatkan pelajar kursus Asas Reka Bentuk Landskap secara langsung sebagai fasilitator dalam berkongsi ilmu pertanian kepada kanak-kanak. Pembelajaran terbaik adalah apabila kanak-kanak dapat merasai sendiri proses pembelajaran, sehingga mereka mampu menceritakan pengalaman itu dengan penuh teruja kepada ibu bapa, sahabat dan guru.”