Oleh: Nur Nabilah Nazri dan Khoirun Nisya Ruslan

Shah Alam, 15 Januari 2025 – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima jemputan untuk menghadiri Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan yang bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UITM Shah Alam. EDGE telah membawa seramai 84 pelajar Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) untuk memeriahkan lagi majlis. Turut hadir bersama dalam lawatan ini ialah lima pelajar UPSI bagi menyertai Pertandingan Business Combat diiringi penyelaras EDGE iaitu Dr. Rosmini Ismail.

Program ini merupakan anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama Majlis Keusahawanan Mahasiswa Universiti Malaysia (MAKMUM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta sokongan dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Justeru, ia telah dimeriahkan dengan kehadiran semua Institut Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia. Antara aktiviti yang diadakan adalah Pertandingan Business Combat, taklimat keusahawanan daripada pempengaruh terkenal, kaunter khidmat nasihat, serta persembahan artis. Pelajar-pelajar juga dapat mengunjungi food truck, gerai jualan dan lain-lain sebagai tarikan sampingan.

Dalam sesi taklimat, pelbagai isu berkaitan keusahawanan dikongsikan dan antara topik yang diketengahkan ialah perkongsian daripada Azri Zahier atau lebih dikenali sebagai John Lemon, Ketua Pegawai Eksekutif The Boom Bevlab Sdn. Bhd. Beliau berkongsi tentang perjalanan perniagaan Hausboom dari sebuah kedai kecil dan kini dikenali serta terpasar di pelbagai negara. Pesanan beliau, dalam berniaga, perkara paling utama adalah jiwa kental dan badan cergas. Hal ini kerana dalam menjadi seorang usahawan, mereka yang lemah tidak akan berjaya untuk bertahan dengan rintangan berniaga yang terlalu sukar. Strategi perniagaan juga perlu diluar kebiasaan dan tidak terikut pada perniagaan besar yang telah berjaya. Bertahan dalam perniagaan sukar, tetapi memulakan perniagaan mudah. Paling utama, sentiasa menggunakan apa yang ada dahulu sebagai strategi bagi menambah pengalaman berniaga, sebelum perniagaan sebenar dimulakan.

Hasil daripada penganjuran program ini, para pelajar berpeluang untuk mengembangkan potensi dan kompetensi keusahawanan masing-masing di samping memperoleh kesedaran mengenai keupayaan bidang keusahawanan sebagai alternatif pekerjaan. Di samping dapat berinteraksi dan menjalin hubungan baik antara pelajar-pelajar daripada Universiti lain. Harapan daripada program ini, semoga dapat dijalankan lagi pada tahun-tahun berikutnya.