Oleh: Bazli Razak
TANJUNG MALIM, 16 Januari 2025 – Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima lawatan kerja daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bagi membincangkan usaha penambahbaikan sistem latihan Khidmat Negara serta pengukuhan pelaksanaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam kalangan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 1/2025, dengan kerjasama Majlis TVET Negara.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, lawatan tersebut memberi tumpuan kepada pelbagai aspek pelaksanaan TVET yang relevan dengan pembangunan modul PLKN 3.0, termasuk taklimat, pameran dan lawatan ke bengkel teknikal yang terdapat di fakulti berkenaan.
“Langkah ini dilihat sebagai inisiatif penting dalam menyuntik elemen kemahiran teknikal dan vokasional dalam program khidmat negara yang bertujuan membentuk generasi muda yang lebih berkemahiran dan berdaya saing.

“Lawatan ini membuktikan kesungguhan semua pihak untuk memperkukuh modul latihan yang tidak hanya bersifat akademik tetapi turut memberi tumpuan kepada kemahiran teknikal yang amat diperlukan dalam era moden ini.”
Jelas beliau, UPSI bersedia untuk menjadi rakan strategik dalam menjayakan modul PLKN 3.0 dengan menawarkan kepakaran, fasiliti, dan pengalaman terbaik dalam bidang TVET.
“Kami percaya bahawa kolaborasi ini mampu melahirkan belia yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai sektor,” tambahnya.
“Kerjasama ini juga memberi peluang kepada pelatih PLKN untuk merasai pengalaman pembelajaran yang lebih holistik, sekaligus mengintegrasikan elemen teknikal dan vokasional dengan nilai-nilai patriotisme yang menjadi asas utama PLKN.”

Tambah beliau, dengan sokongan JLKN dan Majlis TVET Negara, UPSI komited untuk menerajui usaha ini ke arah melahirkan generasi muda yang memiliki kemahiran pelbagai dan mampu menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompleks.”
“Perbincangan ini merupakan satu langkah strategik untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan pihak kerajaan dalam menyokong agenda pembangunan belia melalui TVET.
“UPSI komited untuk terus menyumbang kepakaran dan fasiliti terbaik bagi memastikan keberhasilan modul PLKN 3.0 yang lebih dinamik,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Operasi Latihan JLKN, Kolonel Mazlizan Shaikh Osman berkata, kerjasama dengan UPSI membuka peluang besar untuk pihaknya mempertingkatkan kualiti latihan PLKN 3.0.
“Fasiliti dan kepakaran yang ditawarkan UPSI sangat relevan dengan keperluan semasa dalam membentuk generasi muda yang lebih kompeten.
“Kami yakin melalui inisiatif ini, pelatih PLKN bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran teknikal mereka, tetapi juga membina jati diri yang kuat sebagai rakyat Malaysia.
“Lawatan ini menjadi bukti kukuh bahawa kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan kerajaan mampu menghasilkan impak yang besar untuk pembangunan belia negara,” ujarnya.
Katanya, prbincangan ini merupakan satu langkah strategik untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan pihak kerajaan dalam menyokong agenda pembangunan belia melalui TVET.

“Lawatan kerja ini juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran masa depan, sejajar dengan aspirasi negara untuk melahirkan tenaga kerja berkualiti dan berinovasi,” ujar beliau.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar; Pengarah, Akademik & Antarabangsa UPSI, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus; Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) FTV UPSI, Prof. Madya Dr. Zaliza Hanapi; Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) FTV UPSI, Dr. Norhanizan Usaizan; Timbalan Dekan ( Jaringan Industri & Pengkomersilan) FTV UPSI, Dr. Zahidah Ab Latif; Timbalan Pendaftar FTV UPSI, En. Ahmad Tarmizi Al Shaari; Penolong Pengarah Operasi Latihan JLKN, Mej. Mohamad Herme Basri; Komandan CLKN 505, Mej. Norizwan Shah Kastori; Timbalan Komandan Latihan CLKN 505, Kapt. Mohamad Shahril Mohamad Sofi; Timbalan Komandan Latihan CLKN 515, Kapt. Muhammad Shawal Mohamad Lias; Ketua Pengarah Setiausaha (Dasar), Majlis TVET Negara, Ts. Halim Abdullah; Ketua Pengarah Setiausaha (Dasar), Majlis TVET Negara, Dr.Rozita Sulaiman
